PolitikRencana

“Apa yang naik mesti turun. Namun apa yang jatuh, insya-Allah, akan kembali” – Muhyiddin

SEBAGAI wartawan dan rakyat Malaysia kami mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah menabur bakti kepada negara ini sejak sekian lama.

Beliau bukan seorang ahli politik payung terjun yang diberi laluan hijau untuk naik ke persada, tetapi telah menempuh pelbagai liku hidup dan perjuangan termasuk dipecat dari UMNO hingga menyertai parti Bersatu, kerajaan Pakatan Harapan dan akhirnya menjadi perdana menteri kelapan menerajui kerajaan Perikatan Nasional.

Sebagai pemimpin yang menjunjung lunas undang-undang dan keutuhan perlembagaan akhirnya beliau meletakkan jawatan apabila menyedari sudah hilang sokongan majoriti ahli parlimen.

Tempoh kira-kira 17 bulan sebagai perdana menteri, terlalu banyak usaha dan bantuan dilakukan oleh beliau untuk memastikan negara bertahan melawan pandemik Covid-19 dan pada masa yang sama menyantuni kehidupan rakyat.

Tidak pernah dalam sejarah negara ratusan bilion ringgit diperuntukkan dengan sebahagian besarnya adalah untuk memastikan kelangsungan hidup rakyat yang terjejas teruk akibat krisis pandemik itu.

Bukan mudah untuk beliau mengharungi segalanya kerana bukan sahaja diasak oleh pembangkang, tetapi juga digugat hebat oleh rakan di dalam kerajaan sendiri.

Ketika pemikiran dan tenaga sepatutnya ditumpukan kepada perang pandemik dan pemulihan negara, tetapi ada pihak yang menangguk di air yang keruh bagi menjayakan agenda peribadi masing-masing.

Jadi tidak hairan apabila Muhyiddin melahirkan rasa lega beban yang ditanggung bagi melawan pandemik Covid-19 dapat dilepaskan dengan keputusan untuk meletakkan jawatan paling tinggi dalam negara.

Dalam mesej perpisahan kepada pambantu-pembantunya di Pejabat Perdana Menteri pada 16 Ogos lalu, Muhyiddin berkongsi perbualan peribadi bersama isterinya Noorainee Abdul Rahman selepas mereka berdua solat subuh.

“Pagi tadi lepas berjemaah Subuh bersama isteri saya, duduk – biasa begitulah, lepas subuh, duduk sekejap sekitar lima hingga 10 minit berbual. Dia bertanya, apa yang awak rasa? Saya beritahu saya rasa lega sebab beban di bahu saya sebagai perdana menteri sudah tidak ada lagi lepas hari ini,” kata beliau sejurus sebelum berangkat ke Istana Negara bagi menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong dipetik dari portal berita MalaysiaNow.

Muhyiddin berkata beliau sentiasa percaya seseorang itu perlu melakukan perkara yang betul sambil menambah bahawa jawatan perdana menteri hanyalah jawatan yang bersifat keduniaan.

Beliau berkata kehidupan adalah sebuah perjalanan dengan matlamat utamanya adalah keredaan Tuhan.

“Pertimbangan kita ini bukan duniawi, sebab itu bagi saya, hilang jawatan perdana menteri, itu duniawi. Saya tak boleh bawa ke mana pun,” kata Muhyiddin yang menyokong bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menggantikannya.

Ismail dijadualkan akan mengangkut sumpah jawatan di Istana Negara petang ini.

Muhyiddin berkata beliau menjangkakan para sejarawan akan menulis menyatakan tentang beliau dalam sejarah negara dalam bahagian kecil tulisan sahaja mengenai penggal pendek pentadbiran yang diketuainya.

“Mungkin ada nota kaki yang menulis tentang saya, satu waktu ada seorang perdana menteri namanya Muhyiddin Yassin atau Mahiaddin Yassin yang menjadi perdana menteri ke-8.

“Mungkin ada bab pendek kerana saya tak lama (pegang jawatan). Namun saya fikir saya harus berbangga kerana kita sudah cuba,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin meletakkan jawatan perdana menteri minggu ini selepas lebih sepuluh ahli Parlimen yang diketuai bekas perdana menteri Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penarikan sokongan terhadapnya.

Lelaki berusia 74 tahun ini pernah dipecat daripada Kabinet oleh Najib pada 2015 kerana mempersoalkan penglibatan bekas presiden Umno itu dalam skandal 1MDB.

Selepas beberapa lama keluar dari Umno, beliau menubuhkan Bersatu dan bersama-sama pembangkang dalam Pilihan Raya Umum 2018 dan kembali memegang jawatan dalam Kabinet yang diketuai, Dr Mahathir Mohamad.

Selepas kejatuhan PH pada 2020, Muhyiddin dilantik menjadi perdana menteri.

Menurut Muhyiddin, sekiranya kerusi di pejabatnya boleh bercakap, ia akan beritahu bagaimana pertemuannya bersama bekas perdana menteri Najib Razak sejurus sebelum beliau dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri pada 2015.

“Selepas tak sampai setengah jam, dia tendang saya keluar. Balik pejabat TPM, panggil semua, tak lama saya duduk. Saya cakap, Sorry, we have to pack up. Saya baru jumpa Najib. Dia pecat saya.”

Beliau berkata, tidak perlu lama untuk mengemas barangan miliknya untuk dibawa pulang, hanya sebuah buku hadiah temannya.

“Saya tak ada rahsia dalam meja. Surat-surat rahsia, tak ada apa.

“Kerana kita tahu kita tak buat apa-apa salah.”

Beliau turut menggambarkan kembali ke Pejabat Perdana Menteri tahun lalu adalah sebahagian daripada pusingan hidup.

“Apa yang naik mesti turun. Namun apa yang jatuh, Insya Allah, akan kembali.”

Mengenang hari-hari sewaktu menjadi penolong pegawai daerah, Muhyiddin berkata tidak pernah membayangkan yang satu hari nanti akan memegang jawatan yang paling tinggi dalam negara.

“Saya sangat hormat dan percaya dengan pegawai awam.

“Saya di sana sebelum ini untuk tiga tahun, lepas tu saya resign, masuk swasta. Tak fikir pun nak jadi perdana menteri satu hari. Allahu Akbar.”

Klik pautan ini untuk menyaksikan video penuh:

https://youtu.be/-eYq_H7vKHU

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button