Nasional

Semua pimpinan kerajaan, rakyat pertahan negara daripada ancaman Covid-19 – Tuanku Muhriz

YANG Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah supaya kepimpinan kerajaan di semua peringkat dan rakyat bersatu dan sentiasa menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi, mempertahan serta melindungi negara terutama dalam mendepani cabaran COVID-19.

“Menyedari akan impak pandemik ini ke atas ekonomi, beta juga menggesa supaya kerajaan negeri teguh mengemudi pentadbiran dan kreatif mencorakkan strategi yang lebih dinamik dalam pelaksanaan pembangunan negeri ini ke arah pemulihan ekonomi,” titah Tuanku Muhriz menerusi kenyataan sempena Ulang Tahun Ke-73 baginda, hari ini.

Tuanku Muhriz turut menzahirkan rasa bangga dengan kejayaan kerajaan dalam mengawal pandemik COVID-19.

“Jika dibandingkan dengan negara yang dianggap lebih maju daripada segi kepakaran dan sistem kesihatan, kejayaan pengawalan penularan COVID-19 di Malaysia adalah amat mengagumkan.

“Beta berasa bangga dan amat menghargai komitmen serta dedikasi yang ditunjukkan semua petugas barisan hadapan kesihatan, anggota polis dan tentera serta para sukarelawan daripada agensi swasta dan badan bukan kerajaan serta individu yang telah memberi bantuan dengan pelbagai cara,” titah baginda.

Tuanku Muhriz juga turut mengajak semua rakyat agar menghargai dan berterima kasih atas tindakan segera yang diambil agensi kesihatan di negara ini yang telah mengatur perancangan dan strategi berkesan dalam memastikan penularan wabak COVID-19 dapat dibendung.

Sementara itu, baginda turut mengingatkan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama serta budaya supaya sentiasa mewujudkan permuafakatan dan mengetepikan perbezaan demi mengekalkan keharmonian hidup bermasyarakat.

“Beta menyeru agar semangat perpaduan ini terus diamalkan masyarakat sepanjang masa dan bukannya dalam situasi krisis sahaja,” titah baginda.

Baginda dalam pada masa yang sama turut menyeru rakyat supaya kebersihan dijadikan satu budaya.

“Pemerhatian beta mendapati terdapat segelintir masyarakat yang memandang remeh akan pentingnya kebersihan dengan membuang sampah di tempat tidak sepatutnya. Mutu sistem pengurusan sampah hendaklah ditambah baik tetapi ia bukanlah kaedah penyelesaian sebenar kerana yang lebih penting adalah sikap dan pendirian masyarakat terhadap kebersihan.

“Untuk memastikan amalan ini menjadi budaya dalam masyarakat, pendedahan haruslah dimulakan kepada kanak-kanak seawal pendidikan prasekolah dan di rumah, dan diteruskan sehingga mereka menamatkan pelajaran. Jika langkah seperti ini tidak dibuat, amalan budaya kebersihan tidak akan menyerap ke dalam masyarakat,” titah baginda.

Tuanku Muhriz dalam titahnya turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua para penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sembilan kali ini.

Baginda juga mengingatkan para penerima bahawa kurniaan itu merupakan pengiktirafan yang perlu sentiasa dipelihara kerana ia sangat berkait rapat dengan martabat dan kehormatan Institusi Diraja Negeri Sembilan.

“Oleh itu, setiap penerima mempunyai amanah untuk menjaga kemuliaan dan pengiktirafan yang dikurniakan dengan memastikan imej, tata susila, tingkah laku dan keperibadian masing-masing sentiasa terpelihara,” titah baginda. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button