Mark Zuckerberg sekat Facebook Donald Trump
AKAUN Facebook termasuk Instagram milik Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump disekat susulan insiden pencerobohan di Capitol Building semalam.
Sekatan dilakukan selepas Trump dilihat ‘merestui’ tindakan penyokongnya menceroboh dan berhimpun dalam kawasan bangunan kongres itu.
Dalam masa sama, Trump juga mengeluarkan beberapa kenyataan menerusi hantaran dalam Facebook yang disifatkan berunsur hasutan ke arah keganasan.
Hal berkenaan bertentangan dengan prinsip demokrasi AS apabila pemilihan presiden sudahpun dilakukan pada tahun lepas dan Joe Biden dipilih sebagai Presiden AS ke-46.
“Kami memadam kenyataan-kenyataannya semalam kerana didapati mempunyai kesan terhadap niat untuk melakukan provokasi dan keganasan.
“Keputusannya untuk menggunakan Facebook bukan untuk mengkritik tindakan penyokongnya di Capitol Building, sebaliknya ‘merestui’ tindakan mereka untuk mengganggu rakyat AS di seluruh dunia.
“Sejak beberapa tahun lalu, Trump dibenar menggunakan Facebook secara konsisten dengan mematuhi polisi dan peraturan kami.
“Tetapi, kami memadam kenyataannya baru-baru ini kerana melanggar peraturan berkenaan.”
Demikian kata Ketua Pegawai Eksekutif yang juga pengasas Facebook dan pemilik Instagram, Mark Zuckerberg dalam satu hantarannya hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan Donald Trump dan penyokongnya dalam tempoh 24 jam lepas berhubung insiden demonstrasi di Capitol Building sejak semalam.
Katanya, tindakan yang dilakukan Trump dan penyokongnya itu membelakangkan keamanan dan peralihan kuasa mengikut undang-undang.
Trump sepatutnya memberi kerjasama sepenuhnya dalam peralihan kuasa menjelang hari terakhir penggal presidennya pada 20 Januari ini dan mengalukan penggantinya Biden.
Namun, tindakan penyokong dan beliau sendiri menyebabkan kongres terpaksa menangguhkan pengesahan kemenangan Biden dalam pilihan raya lalu.
Dalam pada itu, Zuckerberg dalam kenyataan sama mempertahankan tindakanya kerana percaya pengguna umum berhak mengakses ucapan politik walaupun yang mencetuskan kontroversi.
Namun, konteks ucapan Trump amat bertentangan dan menggunakan Facebook untuk menyuntik kebencian terhadap kerajaan AS yang dipilh secara demokratik.
“Kami percaya risiko membenarkan Trump untuk terus menggunakan Facebook adalah terlalu tinggi.
“Jadi, kami melanjutkan tempoh sekatan akaun Facebook dan Instagram beliau secara terus bagi tempoh sekurang-kurangnya dua minggu sehinggalah peralihan kuasa selesai,” ujarnya.