Bola SepakSukan

Neitzel mahu pemain Red Giants bersikap telus

SELANGOR FC telahpun memulakan sesi latihan menjelang musim baru Liga Malaysia sejak 4 Januari lalu. Ketua jurulatih baharu Red Giants, Karsten Neitzel menuntut para pemainnya bersikap telus kepadanya setiap kali berdepan sebarang masalah demi kebaikan pasukan.

Saranan itu telah disuarakan oleh Neitzel kerana dia enggan ada dalam kalangan anak-anak buahnya menyembunyikan masalah yang mereka hadapi.

“Saya berharap pemain akan mencapai tahap terbaik dan berlatih dengan tanpa sebarang kecederaan.

“Saya mahu mereka bersikap telus jika mempunyai masalah. Saya lebih suka mereka tidak menyembunyikannya daripada saya,” kata pengendali berasal dari Jerman itu yang dipetik kenyataannya menerusi laman web Selangor FC, hari ini.

Setelah beberapa hari memulakan latihan bersama skuad bimbingannya, jurulatih itu ternyata teruja menyaksikan kualiti yang dimiliki oleh pasukan kendaliannya pada hari pertama latihan, selain sempat berkongsikan rancangan pra-musim pasukan.

“Mereka menunjukkan sikap yang bagus dan juga menikmati program latihan yang dijalankan. Saya melihat kualiti yang baik daripada para pemain biarpun baru pertama kali saya mengendalikan pasukan,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai perancangannya menjelang musim baru, Neitzel memberitahu, pihaknya merancang untuk mengadakan tujuh perlawanan persahabatan pra-musim beserta kem latihan sebelum liga bermula.

“Pihak pengurusan Selangor FC telah memberikan peluang yang baik untuk kami mempersiapkan musim ini dan kami akan menggunakannya dengan sebaik mungkin,” kata Karsten.

Sesi latihan yang dijalankan di Pusat Latihan FAS itu turut disertai beberapa pemain baharu Selangor seperti Shahrel Fikri, Tim Heubach, Dinesh Rajasingam dan Nik Sharif Haseefy.

Heubach yang dipetik kenyataan menerusi Media Selangor FC menzahirkan rasa gembiranya dapat kembali bermain bola sepak setelah sekian lama berehat daripada cuti sebelum pra-musim.

“Ini merupakan latihan pertama kami setelah berehat panjang. Setiap pemain harus mencari rentak masing-masing untuk mencapai tahap kecergasan mereka.

“Saya berasa sangat teruja dengan latihan yang dijalankan dan ini hanyalah permulaan, banyak lagi yang akan kami tempuhi,” kata pemain pertahanan tinggi lampai itu.

Selain Tim, penggempur baharu Red Giants, Shahrel Fikri juga menyatakan keterujaannya setelah dapat berlatih bersama rakan sepasukan dan barisan jurulatih yang baharu.

“Saya teruja dapat berjumpa dengan kawan-kawan baru, jurulatih baru, pemain import baru dan kawan lama semasa latihan, baru-baru ini.

“Walaupun saya tidak sabar untuk kembali berlatih, dalam masa yang sama, saya sedikit gementar,” jelas Shahrel. – SM

(Visited 258 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button