Politik

MN mesyuarat Isnin ini dalam suasana ‘anak-beranak’

MUAFAKAT Nasional (MN) dilihat akan memulakan gerakannya untuk ditubuhkan sebagai sebuah parti berdaftar seperti dipersetujui UMNO sebelum ini.

Gerakan tersebut dimulakan dengan mesyuarat yang dijangka berlangsung pada Isnin (19 Oktober) ini akan mempertemukan pimipinan UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Hal berkenaan disahkan Setiausaha Agung Bersama MN, Tan Sri Annuar Musa apabila memaklumkan suatu rundingan antara UMNO dan Bersatu juga sudah diadakan.

“Saya gembira mendapat tahu wakil UMNO dan Bersatu sudah pun memulakan rundingan. Begitu juga dengan Pas.

“Insya Allah, Isnin ini MN bermesyuarat. Semuanya dalam suasana ‘anak beranak’. Kita doakan segalanya dipermudahkan Allah SWT.”

Demikian ciapan Ahli Parlimen Ketereh itu dalam Twitternya semalam berhubung langkah untuk mendaftarkan MN sebagai sebuah parti.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi partinya menggesa pendaftaran MN sebagai parti dibuat segera.

Menerusi kenyataan sama juga, beliau memaklumkan UMNO mempertimbang untuk menarik balik sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Akhir-akhir ini, krisis politik negara kembali hangat apabila Muhyiddin didakwa kehilangan sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat.

Ia disusuli dengan pendedahan dua Ahli Parlimen iaitu Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Mohd. Hamzah (Gua Musang) dan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Padang Rengas).

Pendedahan tersebut adalah sogokan jawatan Penasihat Petronas dan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang ditawarkan Presiden Bersatu untuk kekal berkuasa. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button