Angkatan simpanan perlu diintergrasi dengan pelan pembangunan, pertahanan negara
Angkatan simpanan perlu diintegrasikan dengan keseluruhan pelan pembangunan serta pelan pertahanan negara dalam konteks strategi ketenteraan bagi memastikan Rejimen Askar Wataniah (RAW) kekal relevan dan dapat berfungsi dengan baik.
Kompetensi yang ada pada para pegawai dan anggota Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia dipercayai mampu berfungsi dan dapat dimobilisasikan apabila diperlukan pada sebilang masa.
Demikian titah Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri ‘Taklimat Pertama Persiapan Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) Siri 32 Tahun 2020’ yang diadakan di Bilik Mesyuarat Kem Bukit Keteri, Beseri.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Timbalan Komander rejimen yang memegang slogan “Di Latih Untuk Perang” berkenaan, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak.
Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Mohd Yusof merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah Negeri Perlis dan Pengerusi Jawatankuasa Keurusetiaan Strategik Penganjuran, Datuk Zul Aznam Haron.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Komander rejimen itu mengingatkan semua bahawa keupayaan angkatan simpanan amat penting dan terus relevan dalam sesebuah negara. Dalam konteks ini, negara-negara maju menjadikan angkatan simpanan sebagai salah satu keupayaan dalam menjurus kepada pembangunan dan pertahanan sesebuah negara.
Menyentuh mengenai SKAW pada kali ini yang akan dilaksanakan di negeri Perlis dari 6 hingga 8 November 2020 yang akan datang nanti, Tuanku Raja Muda menambah bahawa adalah menjadi tanggungjawab semua pucuk pimpinan Tentera Darat Malaysia dan semua Komander di setiap rejimen, untuk bersama-sama terus berganding bahu dalam menentukan supaya Rejimen Askar Wataniah terus relevan seiring dengan perkembangan TDM berdasarkan ‘Pelan Pembangunan Jangka Panjang Tentera Darat’ iaitu ‘Army For Next Generation (Army 4NEXTG)’. Ini termasuklah memenuhi matlamat Rejimen Askar Wataniah untuk membantu ganti atau ‘augmentasi’ kekuatan angkatan tetap mengikut nisbah 1:1 kekal dilaksanakan dengan sasaran pencapaian selepas tahun 2023. Ianya merupakan salah satu strategi pertahanan negara dan model tentera darat dalam memperkasakan keupayaan angkatan simpanan di waktu aman dan juga peperangan.
Pada kesempatan yang sama Zaidi, terus mengajak muda mudi di negeri Perlis ini yang sihat tubuh badan dan memenuhi semua syarat keperluan minima yang ditetapkan oleh Angkatan Tentera Malaysia supaya tidak berlengah-lengah lagi untuk tampil kehadapan bagi mendaftarkan diri dalam pasukan Rejimen 504 Askar Wataniah yang berpengkalan di Kem Bukit Keteri untuk sama-sama mempertahankan kedaulatan ibu pertiwi sebagai anggota sukarela dan sukarelawati.