Nasional

Semangat wataniah perlu menjalar ke akar umbi – Raja Muda Perlis

Penglibatan Askar Wataniah dalam memberikan sumbangan kepada teras pertahanan negara tidak dapat dipertikaikan lagi. Perkara ini haruslah diwar-warkan kepada anak bangsa kita bagi meningkatkan semangat patriotisme dan memperkasakan lagi jati diri yang seharusnya menjalar sehingga ke ‘akar umbi’.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di ‘Majlis Makan Malam Rejimental Rejimen 504 Askar Wataniah, Tentera Darat Malaysia 2021’ yang diadakan di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin di Pauh Putra, Perlis.

Keberangkatan tiba baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehornat) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Timbalan Komander rejimen berkenaan, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak dan Pengarah Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Mejar (Kehormat) Abdul Malek Hassan.

Menurut Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah yang berslogankan “Dilatih Untuk Perang” bahawa semua peringkat pegawai dan anggota tidak kira tetap mahupun sukarela perlulah sentiasa meningkatkan lagi tahap kerja dan pemikiran dalam melaksanakan sebarang tugas selaras dengan visi dan misi rejimen.

Terdahulu daripada itu, Mohamad Zaini dalam ucapan alu-aluan beliau memaklumkan bahawa majlis tersebut diadakan bersempena 40 tahun penubuhan rejimen ini. Majlis memperingati hari ulang tahun ini amatlah penting bagi mengingatkan kembali semua pihak terutamanya pegawai dan anggota rejimen dalam memastikan agar sebarang bentuk pelaksanaan penugasan haruslah bersesuaian dengan usia rejimen.

Tambah beliau lagi, majlis tersebut juga dianjurkan bersempena “Hari Ulang Tahun Tentera Darat Malaysia Ke-88” bagi sama-sama memperingati penubuhan Tentera Darat sebagai tonggak utama pertahanan negara sejak 1 Mac 1933 lagi.

(Visited 387 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button