Jika terus ingkar tragedi wabak Spanish Influenza bunuh 50 juta manusia mungkin berulang
DUNIA sebenarnya pernah melalui detik yang lebih getir pada tahun 1918 apabila dilanda wabak Spanish Influenza yang mengorbankan 17 hingga 50 juta manusia di seluruh dunia.
Tragedi itu bermula pada Januari 1918 dan berakhir pada Disember 1920 bermula di Bandar Kelowna, Daerah British Columbia di Kanada.
Peguam, Haniff Khatri Abdulla berkata, beliau seperti segolongan besar rakyat Malaysia yang lain, sama-sama kesal dengan sikap segolongan kecil rakyat yang masih pentingkan diri sendiri dalam mengingkari secara terbuka akan syarat-syarat pergerakan yang dikenakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa mulai 18 Mac dan kini sambung hingga 14 April dan jika jangkitan COVID-19 berterusan akan dilanjutkan lagi.
“Besar kemungkinan akan disambung lanjut sepanjang bulan Ramadhan yang bakal tiba, juga.
“Pihak yang pentingkan diri sendiri, seperti yang dilaporkan antara lain di pasar-pasar di Pulau Pinang, wajib pada masa kini dikenakan tindakan undang-undang yang sedia ada di bawah PKP dan AKTA 342, dengan pihak polis harus diberi kuasa untuk menahan dan mendakwa mereka itu, supaya gejala COVID-19 ini dapat dibendung, dan turut sama menghargai usaha majoriti rakyat yang mematuhi arahan Kerajaan di bawah PKP itu,” kata Haniff.
Kepentingan majoriti dan negara, katanya, harus diutamakan terhadap kepentingan peribadi minoriti yang masih memungkiri syarat-syarat di bawah PKP.