Nasional

PKP & Covid-19: Bilangan individu muflis dua kali ganda

JIKA benarlah bilangan muflis kemungkinan berjumlah dua kali ganda lebih ramai sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan terhadap rakyat negara ini bagi mengekang penularan pandemik Covid-19, itu adalah suatu perkara yang membimbangkan.

Bilangan individu yang dikatakan duduk dalam situasi tersebut bermula daripada PKP pertama pada 18 Mac 2020 sehingga Julai lalu, menurut pakar ekonomi, Prof. Madya Ahmed Razman Abdul Latiff, adalah lebih tinggi daripada yang digambarkan data Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI).

Ketua Penerangan PUTRA, Ashraf Roslim dalam kenyataannya hari ini berkata, ini merupakan suatu perkara yang amat membimbangkan.

“Ini kerana berdasarkan statistik yang telah dikeluarkan oleh Pengurus Pembangunan Perniagaan dari Putra Business School, bilangan individu yang tidak mampu membayar hutang, mungkin dua kali ganda lebih ramai daripada data muflis yang direkodkan MdI bagi tempoh PKP iaitu seramai 10,317 orang.

“Dan ini adalah selepas pindaan nilai hutang dari RM50,000 ke RM 00, 000 pada Ogos 2021 yang lalu. Akan tetapi permasalahan di sini adalah data yang ada tidak mengambil kira orang muflis, tidak mampu bayar hutang, bagi hutang kurang daripada nilai ambang baru ini,” katanya.

Bagi parti PUTRA, beliau berkata, ini adalah satu nilai statistik yang kurang tepat dan harus dilihat semula oleh Mdl.

Ashraf merujuk kepada jawapan bertulis di Parlimen pada 27 Sepember lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memetik data MdI bahawa seramai 10,317 individu diisytihar muflis sepanjang PKP dari Mac 2020 hingga Julai 2021 – atau 16 bulan – manakala 1,246 syarikat gulung tikar bagi tempoh sama.

Data MdI menunjukkan seramai 3,684 orang muflis bagi tahun 2021 (sehingga Jun), dan 8,351 muflis bagi sepanjang tahun 2020 – ketara rendah berbanding tahun sebelum pindaan dilakukan iaitu 12,051 muflis (2019), 16,482 muflis (2018) dan 18,227 muflis (2017).

“Di Malaysia, kadar keberhutangan isi rumah adalah tinggi, iaitu pada kadar 89.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi separuh pertama 2021.

“Dan trend ini bertambah buruk lagi apabila pasaran rumah lelong meningkat pada suku kedua iaitu sebanyak 30 peratus.

“Ini adalah salah satu indikator bahawa semakin ramai rakyat tidak mampu membayar pinjaman rumah akibat terjejas daripada kemerosotan ekonomi oleh pendamik Covid-19 ini,” jelasnya.

Di samping itu, Ashraf menambah, Jabatan Perangkaan menganggarkan hampir 72 peratus daripada 746,900 penganggur adalah dari golongan yang berumur 15 hingga 34 tahun.

“Ini menunjukkan satu angka yang membimbangkan kerana mereka ini adalah golongan yang terdedah kepada keadaan kewangan yang tidak kukuh dan seterusnya boleh menyebabkan mereka terjerumus ke dalam katagori muflis,” katanya.

Justeru katanya lagi, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan harus meneliti dengan lebih serius lagi akan hal ini kerana ia melibatkan generasi pelapis negara.

“Diharap kerajaan dapat memikirkan suatu mekanisma yang kukuh dan mampan didalam bajet akan datang bagi mengambil status dan cabaran kewangan anak muda yang bakal menerajui negara akan datang,” katanya. – SM

(Visited 113 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button