COVID-19: Gelagat rakyat Malaysia hadapi Perintah Kawalan Pergerakan
SAYA terima panggilan dari ibu di kampung yang bimbang dengan Perintah Kawalan Pergerakan bagi menangani wabak COVID-19 daripada menular.
Dia bimbang kerana restoran sudah tutup dan bekalan makanan juga tidak cukup untuk tempoh yang panjang.
Saya maklumkan saya tidak dapat pulang ke kampung. Lantas saya meminta adik supaya membeli sedikit keperluan untuk ibu supaya hatinya lebih tenang.
Almaklumlah mendengar pelbagai cerita ibu pun menjadi gelisah. Walaupun hakikatnya pasar raya dan premis menjual barangan keperluan masih lagi dibuka.
Hatta restoran juga masih dibuka cuma tidak dibenarkan makan di premis berkenaan sahaja.
Tidak lama selepas itu saya menerima panggilan dari ibu memaklumkan dia lega kerana adik saya telah membeli serba sedikit barangan keperluan.
Ketika panggilan telefon diterima saya sedang dalam perjalanan ke Pahang untuk mengambil pulang anak ekoran pusat pengajian tinggi juga ditutup.
Saya juga telah maklumkan kepada adik saya di kampung saya tidak dapat pulang ke kampung kerana bimbang kemungkinan akan menjadi punca menularnya wabak ke kampung.
Apatah lagi ibu seorang warga emas tidak mempunyai daya tahan diri yang kuat dikhuatiri akan terjejas teruk apabila terkena jangkitan virus tersebut.
Ketika dalam perjalanan pulang dari Pahang ke Kuala Lumpur setelah mengambil pulang anak di asrama, saya dapati kenderaan menuju ke Pahang sesak di jalan raya.
Ternyata orang ramai memilih untuk pulang ke kampung sepanjang tempoh perintah kawalan tersebut.
Situasi yang sama dikongsi oleh rakan-rakan lebuh raya menuju ke utara dan selatan. Hinggakan saya terfikir seolah-olah cuti perayaan pula dan bukan perintah kawalan pergerakan.
Begitulah sikap rakyat negara ini yang kononnya prihatin, apabila pulang ke kampung, tetapi sebenarnya akan memburukkan lagi keadaan.
Saya jangkakan Kuala Lumpur akan lengang seperti cuti umum apabila menjelang terbit matahari bagi hari pertama langkah kawalan pergerakan dilaksanakan.
Memang kebanyakan kita tidak mempunyai kehidupan yang sebenarnya di Lembah Klang, tetapi lebih gemar pulang ke kampung-kampung masing-masing apabila terdapat cuti atau kelapangan.
Bagaimanapun dalam situasi darurat sebegini, kita sepatutnya menahan diri daripada bergerakan pulang ke kampung, tetapi sepatutnya tinggal di dalam rumah beberapa hari untuk memastikan kita sekeluarga tidak berhubung dengan orang lain.
Jika terdapat gejala jangkitan segeralah ke hospital untuk melakukan pemeriksaan, supaya rawatan awal dapat dilakukan bagi mengelakkan situasi yang lebih serius.
Dalam pada itu tinjuan BERNAMA menjelang tengah malam Rabu, saat bermulanya penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak COVID-19 di Malaysia, beberapa lokasi iaitu stesen pengangkutan awam dan balai-balai polis menjadi tumpuan orang ramai yang mahu bergerak pulang ke kampung halaman.
Tindakan mereka yang berpusu-pusu menyerbu balai-balai polis dan stesen pengangkutan awam seperti Terminal Bersepadu Selatan (TBS) sehingga menimbulkan kesesakan untuk mendapatkan borang rentas negeri bagi membolehkan mereka bergerak keluar sebelum perintah itu dikuatkuasakan mulai esok hingga 31 Mac.
Diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin, Perintah Kawalan Pergerakan yang dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967, antara lain bertujuan mengehadkan pergerakan orang ramai bagi menyekat penularan COVID-19.
Namun, kesesakan yang berlaku dan ramai orang berada di tempat awam pada satu-satu masa itu berkemungkinan boleh meningkatkan lagi jumlah kes penularan COVID-19.
Melihat kepada visual yang tular di media sosial sejak lewat petang tadi, seakan-akan orang ramai masih mengambil mudah aspek keselamatan terutamanya penjarakan sosial yang mesti dilakukan bagi mengelakkan jangkitan virus itu.
“Mana kesedaran dan tanggungjawab anda?” Itu adalah persoalan utama yang berlegar di fikiran apabila wartawan Bernama melakukan tinjauan di TBS dan beberapa balai polis di sekitar Kuala Lumpur malam ini.
Tiada jarak selamat malah rata-rata pengunjung di kedua-dua lokasi ‘panas’ itu berada dalam suasana seolah-olah musim perayaan apabila orang ramai bertumpu di stesen bas untuk pulang beraya.
Ketika ditanya alasan mereka berada di TBS, rata-ratanya yang kebanyakan penuntut institusi pengajian tinggi memberi jawapan bahawa mereka tiada pilihan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari itu.
Bagi seorang penuntut UiTM Puncak Alam, yang hanya mahu dikenali sebagai Nabila, 20, berkata dia terpaksa pulang ke kampung berikutan penutupan kolej dan tiada kemudahan tempat tinggal dan makan.
Beliau, yang mencuba nasib membeli tiket untuk pulang ke Pulau Pinang, berkata walaupun sedar dengan risiko yang dihadapi, beliau tiada keluarga di Kuala Lumpur untuk tinggal sementara waktu.
“Saya akan pakai penutup hidung dan mulut serta guna cecair pembasmi kuman sepanjang perjalanan, ” katanya.
Seorang pembantu hospital, yang enggan dikenali, berkata beliau sekeluarga terpaksa balik kampung malam ini kerana ibunya sakit dan mematuhi arahan untuk mengisi borang rentas negeri di balai polis.
“Kami memang kena balik malam ini, sebab itu kami datang ke balai polis untuk mendapatkan kebenaran,” katanya yang mahu pulang ke kampung di Perak.
Bagaimanapun menjelang tengah malam ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menangguhkan sementara arahan pengisian borang permit rentas negeri berikutan kesesakan di balai-balai polis di seluruh negara sejak pengumuman mengenainya dikeluarkan, petang tadi.
Hasri Tahir, 40, berkata beliau sekeluarga terpaksa mencuba nasib untuk pulang ke Sabah menaiki kapal terbang bagi penerbangan yang dijadualkan awal pagi ini berikutan tiket telah dibeli dua bulan lepas.
“Jika ditahan di lapangan terbang, kami tidak boleh buat apa-apa, terpaksa balik ke rumah di sini sahajalah. Kalau dapat balik lebih bagus,” katanya yang tinggal di Sungai Besi.
Dalam pada itu kerajaan negeri Sabah telah mengeluarkan perintah larangan masuk ke negeri berkenaan sepanjang tempoh kawalan dilaksanakan.ka
Bagi yang sudah pulang ke kampung kekallah dengan langkah pencegahan seperti memakai topeng muka, menggunakan pembasmi kuman dan menjaga kebersihan setiap masa serta elakkan berhubung secara fizikal dengan orang lain.
Kita perlu berkorban pada masa ini demi kebaikan kita semua. Harus diingat negara kita bukan melaksanakan perintah berkurung, tetapi langkah menjarakkan hubungan sosial.
Jika kita semua bekerjasama tempoh kawalan ini mungkin disingkatkan apabila situasi semakin baik, dan sebaliknya jika ingkar dan keadaan bertambah buruk tidak mustahil tempoh kawalan akan dilanjutkan.