Berita

Projek Berhampiran Lokasi Kebakaran Saluran Gas Dapat Kelulusan PBT

PROJEK pembangunan yang sedang dijalankan berhampiran lokasi kebakaran saluran paip gas bawah tanah di Putra Heights telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.

Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim, menegaskan bahawa projek tersebut tidak terletak dalam Rizab Laluan (ROW) Petronas dan telah menerima kelulusan serta Kebenaran Merancang (KM) pada tahun 2022. Menurutnya, pembinaan projek itu juga mematuhi semua syarat yang ditetapkan.

“Projek ini telah melalui proses kelulusan yang diperlukan dan mendapat kebenaran daripada pihak Petronas untuk menggunakan ROW bagi laluan Indah Water Konsortium (IWK).

“Selain itu, kontraktor yang terlibat dalam pembinaan adalah panel yang diluluskan oleh IWK dan Petronas,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa projek yang sepatutnya siap pada Disember tahun lalu mengalami kelewatan kerana masih dalam proses mendapatkan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

“Saya tidak pasti punca sebenar kelewatan ini kerana ia di luar bidang kuasa saya. Mungkin ia berkaitan faktor kewangan atau isu lain, tetapi yang pasti semua kelulusan telah diperoleh mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Projek ini mematuhi segala syarat dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa,” jelasnya.

Terdahulu, beliau diminta mengulas mengenai dakwaan yang tersebar di media sosial berhubung pembinaan projek tersebut. Namun, Amirul Azizan menegaskan bahawa pihaknya tidak akan memberikan sebarang respons kerana siasatan masih dijalankan oleh Petronas dan pihak polis.

“Buat masa ini, apa yang tersebar di media sosial bukanlah kenyataan rasmi. Kita perlu menunggu hasil siasatan bagi mengetahui punca sebenar kebakaran dan letupan yang berlaku,” katanya.

Semalam, penduduk mendakwa kerja-kerja pengorekan yang dijalankan menjadi punca kebakaran saluran gas berkenaan.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button