Ekonomi

Malaysia-Saudi teroka ruang kerjasama capai Visi 2030

MEKAH – Malaysia bersedia untuk bersama-sama dengan Arab Saudi ke arah mencapai Visi 2030 negara itu dengan meneroka pelbagai ruang kerjasama baharu, terutamanya dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan hydrogen, dalam ruang lingkup memperkasa hubungan perdagangan dan pelaburan kedua-dua negara.

Pelaburan Arab Saudi  di Malaysia meliputi beberapa sektor yang didominasikan sektor petroleum dan gas dengan pelaburan utama di Pengerang Integrated Complex (PIC) dengan nilai pelaburan berjumlah USD27 bilion pada tahun 2018.

Arab Saudi merupakan rakan dagang terbesar dan sumber import terbesar Malaysia di rantau Asia Barat. Pada tahun 2023, jumlah dagangan dua hala dengan Arab Saudi mencecah RM50.52 bilion (AS$11.06 bilion), peningkatan sebanyak 11.5 peratus berbanding RM45.32 bilion (AS$10.21 bilion) pada tahun 2022.

Lebihan dagangan Arab Saudi adalah RM36.8 bilion kerana import petroleum dari Saudi ke Malaysia. Nilai eksport Malaysia ialah RM 6.86 billion manakala Nilai Import Malaysia pula adalah RM43.66 billion.

Demikian menurut kenyataan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang dipersembahmaklumkan oleh Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah kepada Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Aziziah, Mekah baru-baru ini.

Pada sesi berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan mengurniakan sumbangan Tabung Ibnu Sabil MAIPs kepada pihak Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh bertujuan membantu masyarakat Malaysia yang berhadapan situasi sukar seperti terkandas, kecemasan dan sebagainya.

Baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Anakanda-anakanda Baginda berdua iaitu Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Sharifah Farah Adriana Jamalullail serta Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail berangkat mengerjakan ibadah haji di tanah suci pada tahun ini.

Hadir sama ialah isteri Duta, Datin Zuhaila Abd Latif. Turut mengiringi Baginda adalah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Wan Zaidi turut memaklumkan bahawa sejak 1957, Malaysia dan Arab Saudi mempunyai hubungan yang erat di bidang kerjasama ekonomi dan diplomatik. Hubungan dua negara ini pasti terus diperkukuh demi kesejahteraan dan keamanan sejagat.

Hubungan ini telah menjangkau satu tingkatan baharu di peringkat kepimpinan tertinggi. Perdana Menteri Malaysia telah membuat kunjungan ke Riyadh, Arab Saudi bagi memenuhi jemputan peribadi Putera Mahkota Muhammad Bin Salman ke Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) pada April 2024 manakala Perdana Menteri Arab Saudi pula dijangka datang ke Malaysia pada tahun 2025 bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN GCC 2025.

Selain berkongsi kepentingan dalam bidang pelaburan dan ekonomi, Malaysia dan Arab Saudi turut mempunyai hubungan rapat dalam pelbagai lapangan akademik dan dakwah seperti pertukaran kepakaran, pelaksanaan konferen akademik dan kajian penelitian yang memberikan impak antara kedua belah pihak.

Tuanku Pemangku Raja turut berkenan menyampaikan sumbangan Bantuan Fi Sabilillah MAIPs kepada pelajar-pelajar Perlis di Arab Saudi, diwakili Mahasiswa Universiti Islam Madinah Munawwarah, Talhah Mohd Asri. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button