Surau Al-Barakah Bank Rakyat raih anugerah khas sempena Maulidur Rasul 2024
SURAU Al-Barakah Bank Rakyat baru-baru ini telah dianugerahkan Anugerah Khas Organisasi sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 2024. Pengiktirafan ini diberikan atas sumbangan dan peranan mereka yang cemerlang dalam memajukan kemaslahatan ummah dan syiar Islam.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd. Na’im Mokhtar kepada Encik Nor Haimee Zakaria, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi Bank Rakyat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Surau Al-Barakah, dalam majlis yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Menurut Encik Nor Haimee, pengiktirafan ini adalah hasil daripada impak sosial positif yang dibawa oleh Surau Al-Barakah melalui komitmen mereka untuk menyediakan perkhidmatan pengurusan hal ehwal Islam yang terbaik kepada masyarakat, terutamanya di Kuala Lumpur. Ini termasuk pelaksanaan pelbagai aktiviti pengimarahan surau dan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
“Bank Rakyat amat berbesar hati atas sumbangan yang kami salurkan kepada pembangunan komuniti setiap tahun. Kami berkomitmen untuk membangunkan insan dan masyarakat ke arah yang lebih progresif dan bertamadun tinggi, sejajar dengan mandat Bank dalam menyediakan penyelesaian perbankan patuh Syariah serta kemudahan kewangan yang berintegriti dan bertanggungjawab,” ujar beliau.
Antara inisiatif yang dijalankan oleh Surau Al-Barakah termasuk Program Ziarah Barakah, yang menyediakan sumbangan tahunan berjumlah RM150,000 kepada lebih 500 keluarga dari golongan fakir miskin di seluruh negara. Selain itu, Tabung Jariah al-Barakah juga telah mengumpulkan RM132,289 untuk disalurkan kepada empat sektor utama: kebajikan, kesihatan, pendidikan, dan pemerkasaan ekonomi.
- Hukum berkenalan dalam Iddah, penjelasan Ustaz Azhar15 October 2024
- Kematian anjing “Kopi” PBT menafikan tindakan dibiarkan15 October 2024
“Pengiktirafan terhadap usaha Surau Al-Barakah ini menjadi dorongan kepada kami untuk terus merangka pelbagai program dan aktiviti yang memberi manfaat kepada pembangunan ummah dan masyarakat setempat, menjadikan surau ini sebagai pusat keilmuan dan institusi kecemerlangan umat Islam,” tambah Encik Nor Haimee.
Bagi pihak Jawatankuasa Pengurusan Bank Rakyat, beliau juga ingin mengucapkan penghargaan kepada Jawatankuasa Pengurusan Surau Al-Barakah dan ahli kariah surau atas segala khidmat bakti dan jasa mereka yang memastikan setiap inisiatif surau dapat dilaksanakan dengan baik dan berjaya.
Dengan penghargaan ini, diharapkan Surau Al-Barakah akan terus berperanan aktif dalam mengangkat syiar Islam dan memperkukuh hubungan dalam masyarakat.
Artikle Berkaitan :>
Bank Rakyat perjelas isu keselamatan: Komitmen Terhadap Perlindungan Pelanggan