Nasional

Tentera Darat akan adakan Forum Angkatan Sukarela Malaysia

Bahagian Pasukan Simpanan (BPS) Tentera Darat Malaysia (TDM) akan mengadakan Forum Angkatan Sukarela Malaysia bersempena Hari Ulang Tahun Askar Wataniah yang ke-66 di negeri Perlis pada petang jumaat, 28 Jun 2024 yang akan datang ini.

Forum bertajuk ‘Whole Of Government, Whole Of Society (WOGOS)’ tersebut bakal berlangsung di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Alam Pauh Putra.

Pemangku Raja Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah dijadualkan berangkat bagi menyempurnakan majlis perasmian program yang dilaksanakan selama separuh hari dengan kerjasama pihak UniMAP sebagai rakan strategik utama penganjurannya.

WOGOS merupakan pendekatan agensi perkhidmatan awam bekerjasama melintasi sempadan portfolio untuk membangunkan dasar-dasar integrasi dan program-program untuk pencapaian matlamat bersama atau saling melengkapi, yang bergantung antara satu sama lain.

Usaha memperkasa WOGOS ini juga merupakan pendekatan yang lebih luas dengan melangkah jauh melampaui pihak berkuasa awam yang melibatkan semua pihak berkepentingan yang relevan, termasuk individu, keluarga, komuniti, organisasi antarabangsa, institusi keagamaan, masyarakat sivil, akademik, media, pertubuhan sukarela, sektor swasta, dan industri.

Tuanku Pemangku Raja bertitah mengajak seluruh rakyat untuk sama-sama tampil kehadapan memberi komitmen dan mengambil tanggungjawab khususnya kepada Tentera Darat Malaysia bagi memastikan segala usaha yang dilaksanakan ini dapat dimanfaatkan dan diwarisi oleh generasi akan datang dengan matlamat utama iaitu ‘Malaysia Selamat, Berdaulat dan Makmur’.

‘Cabaran geo politik dan strategik serantau, ketidak tentuan hubungan kuasa besar di rantau Asia Pasifik dan juga pergolakan di Timur Tengah, cabaran kejiranan Asia Tenggara yang kompleks, ekstremisme,
ancaman siber, perubahan iklim yang mencetuskan bencana alam mewajarkan setiap negara untuk merangka strategi secara konstruktif bagi mendepani situasi semasa’, titah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi. –SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button