Hiburan

Borang pencalonan mingguan Muzik Muzik ada kluasa bermasalah

TAK ada angin tak ada ribut, kali ini timbul isu pihak syarikat rakaman, penyanyi, penulis lirik dan komposer tidak puas hati dengan terma atau klausa yang dikenakan oleh pihak Media Prima dalam mengisi borang pencalonan mingguan Muzik Muzik dan Anugerah Juara Lagu.

Dalam lampiran borang berkenaan yang mana ia tidak boleh dipaparkan secara terbuka untuk tatapan pembaca SUARA MERDEKA, mengikut apa yang penulis faham, Media Prima mahu hak ke atas lagu-lagu yang masuk pencalonan Muzik Muzik dilepaskan oleh empat pihak tadi.

Esok, Jumaat, adalah peringkat separuh akhir Muzik Muzik dan rasanya pihak syarikat rakaman, komposer, penulis lirik dan penyanyi berhak untuk tidak bersetuju dengan klausa yang menguntungkan pihak pengurusan Media Prima.

Ini bukan lagi menangguk di air keruh tetapi seolah-olah bersikap seperti penyamun yang menyamun hasil kerja seni orang lain secara senang-senang.

Memanglah Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Persatuan Penerbit Malaysia (MPA) campur tangan dan mulut apabila timbul isu klausa yang mengarut dalam borang pencalonan yang dikeluarkan oleh Media Prima.

Kedua-dua pihak iaitu RIM dan MPA telah mengadakan perundingan dan perbincangan dengan Media Prima.

Lebih tepat lagi, perbincangan mereka adalah mengenai terma dan syarat pencalonan lagu dalam Muzik Muzik program carta lagu mingguan yang disiarkan di TV3.

Sudah bawa bincang, sudah bawa berunding tetapi apakah hasilnya? Media Prima tak kan berdiam sahaja.

Tidak usah rasa pelik atau nak boikot apabila syarikat-syarikat rakaman tempatan dan antarabangsa tidak mencalonkan rakaman lagu artis-artis mereka dalam program Muzik Muzik tahun ini.

Sebabnya sudah terang lagi bersuluh iaitu kerana tidak bersetuju dengan klausa tertentu dalam borang pencalonan lagu Muzik Muzik/Anugerah Juara Lagu.

Kalau nak diikutkan, sesi dialog atau perbincangan dengan pihak pengurusan tertinggi Media Prima mengenai perkara itu telah diadakan pada awal Ogos tahun ini.

Pihak sebelah Media Prima juga maklum sangatlah tentang klausa bermasalah dalam borang pencalonan tersebut untuk bukan sahaja perhatian tetapi tindakan sewajarnya daripada mereka.

Sampai sekarang, sampai hari ini, sampai saat ini, belum ada penyelesaian yang memuaskan sepenuhnya berhubung perkara ini.

Pengkarya yang merangkumi syarikat rakaman, komposer, penulis lirik dan penyanyi berharap Media Prima dapat mencapai keputusan dengan segera untuk klausa dan isu berkenaan.

Lagi cepat diselesaikan isu ini, lagi bagus kerana dalam kalangan syarikat penerbit juga tidak mencalonkan lagu-lagu baharu yang mereka tadbir bagi pihak penulis lagu masing-masing dalam program Muzik Muzik tahun ini.

Cepat-cepatlah capai kata sepakat ya Media Prima sebab kalau nak kaut untung semata-mata, eloklah timbang juga hasil karya seni orang lain.

Sebagai persatuan yang mewakili pemegang hak rakaman bunyi/video dan karya muzik masing-masing, RIM dan MPA mahu isu yang dilihat sengaja ditangguh-tangguhkan penyelesaiannya berhubung borang pencalonan lagu Muzik Muzik, diselesaikan segera oleh pengurusan tertinggi Media Prima demi kebaikan semua pihak. – SM

BACA PKP: Anugerah Juara Lagu 35 ditunda ke satu tarikh yang akan ditetapkan

BACA Bekas finalis Anugerah Juara Lagu buka bengkel baiki kereta

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button