Masjid Wang Besar anjur bermusafir lihat perkembangan dakwah
KELAS mendalami ilmu agama tidak semestinya statik di dalam ruang masjid sahaja. Ada kalanya aktiviti ini perlu dikembangkan termasuk bermusafir bagi membuka minda dan melihat dengan lebih dekat lagi pelbagai bentuk pembangunan dakwah Islam yang sedang pesat dilaksanakan di negeri lain.
Atas sebab itu Ahli Jawatankuasa (AJK) Wanita Masjid Nurul Hikmah, Wang Besar, Bintong, Perlis berusaha untuk membawa jemaah wanita yang mengikuti kelas Ustaz Mohd Rizal Azizan, Ahli Jawatankuasa (AJK) Wakaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Ustazah Azizah Mat Isa dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) bermusafir sambil menambah ilmu pengetahuan.
AJKnya, Fauziah Othman berkata, sambutan dari jemaah wanita sangat menggalakkan sekalipun setiap orang dikenakan bayaran RM30 bagi sebagai tambang bas yang disewa khas.
“Kita bermusafir kali ini bukan saja mencari ilmu tetapi memberi peluang setiap jemaah wanita untuk bersedekah dan mengukuhkan ukuhuwah,” katanya yang dibantu seorang lagi AJK, Rosni Salim.
Lebih menarik, rombongan bermusafir ini juga disediakan dengan pelbagai jenis makanan di sepanjang perjalanan yang oleh jemaah yang bermurah hari dan sedar akan kepentingan bersedekah.
Perjalanan yang bermula pukul 7.15 pagi dari Masjid Nurul Hikmah ini terlebih dahulu dibacakan doa oleh Imam Mohd Hafie Othman bagi memohon keberkatan sepanjang bermusafir.
Destinasi petama adalah di Murtadha Dakwah Centre (MADAD) di Kampung Telok, Sungai Petani, Kedah setelah perjalanan hampir tiga jam.
MADAD ini merupakan sebuah pusat komuniti Islam yang dilengkapi masjid berasaskan ilmu falak dan menggunakan solar, rumah warga emas, pusat tahfiz integrasi, kapsul hotel, stadium e-sports, hub sukan sunah (memanah, berenang, berkuda) serta penyediaan khidmat pengurusan jenazah.
Pengarah Urusannya, Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusof juga berkesempatan meraikan rombongan ini dengan memberikan taklimat berkenaan kompleks ini yang dijangka siap sepenuhnya 2025.
Pada kesempatan ini, Fauziah turut menyampaikan kutipan sedekah oleh jemaah yang disampaikan kepada Mohammad Yaakub Yusra.
Ahli rombongan juga dijamu dengan makanan tengah hari juga berkesempatan menunaikan solat sunat di masjid MADAD.
Bagi menunaikan solat Zohor, lokasi seterusnya di Masjid Al-Busyra Merbok satu-satunya masjid di Kedah berkonsepkan ala hentian rehat dan rawat (R&R).
Sekali lagi Fauziah menyerahkan kutipan sedekah jemaah wanita bagi diserahkan kepada
Pengerusi dan Imam Masjid Al-Busyra Merbok, Mohd Firdaus Mat Akhir.
Mohd Firdaus berkata, sejak mengambil alih pentadbiran pada tahun 2018, satu transformasi telah dilakukan ke atas masjid yang dibina pada tahun 1972.
Katanya, selain pengubahsuaian masjid kepada rekaan lebih moden juga dilaksanakan penambaikan lain seperti ruang solat, hiasan seni reka masjid, tandas dan food court berkonsepkafn ala hentian rehat dan rawat (R&R), perpustakaan mini serta kemudahan tempat letak kereta yang selesa.
Sementara itu, salah seorang ahli jemaah yang mengikuti rombongan ini, Mahsuri Mahmood, 65 berkata, peluang bermusafir bagi melawat dua lokasi ini merupakan satu pengalaman sangat berharga.
“Selain itu antara kami jemaah wanita bukan semua mengenali antara satu sama lain dan peluang hari ini sangat menakjubkan dari segi menjalin ukhuwah,” katanya.
Pesara kerajaan ini menyifatkan usaha AJK wanita ini sebagai yang terbaik apabila rata-rata jemaah berpuas hati apabila membawa pulang pengalaman berharga khususnya mengenai perkembangan dakwah Islam yang sangat membanggakan di luar sana. – SM
BACA Pendakwah selebriti didakwa atas kelakuan seksual terhadap remaja lelaki
BACA Pendakwah perlu lengkap diri dengan kemahiran- Pemangku Raja Perlis