NasionalNegeri

Pendakwah perlu lengkap diri dengan kemahiran- Pemangku Raja Perlis

PEMANGKU Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya para pendakwah Islam seharusnya sentiasa melengkapkan diri masing-masing dengan kemahiran dan ilmu agar dihormati oleh masyarakat.

Titah Baginda, golongan ini perlu lengkapkan diri dengan setiap aspek kehidupan agar boleh menjadi contoh yang terbaik di luar sana.

Baginda bertitah, setiap umat Islam semua mempunyai tanggungjawab untuk berkongsi keindahan Islam sesama umat manusia.

“Usaha berterusan perlu dilakukan untuk meningkatkan lagi kefahaman mengenai agama Islam kepada masyarakat sekeliling,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Persidangan Dakwah Serantau Kali Ke-9 dari 27 hingga 29 Mei di Hotel Seri Malaysia di Kangar.

 

Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama Hidayah Centre Foundation, MyGuide Malaysia, Gabungan Dakwah Malaysia dan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Keberangkatan tiba baginda ke persidangan yang dihadiri 200 peserta dari 40 buah negara itu disambut oleh Pengerusi Hidayah Centre Foundation, Ir Dr. Muhammad Fuad Abdullah dan Muhammad Abdullah @ Nicholas Sylvester.

 

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Yang DiPertua MAIPs bertitah, akidah umat Islam perlu dilindungi dari sebarang anasir yang tidak baik yang boleh membawa kepada kesan negatif.

“Marilah kita sama-sama menguatkan lagi pegangan akidah terutamanya untuk diri kita sendiri,” titah Baginda.

Pemangku Raja bertitah, marilah sama-sama melaksanakan tanggungjawab kita dengan penuh berdedikasi sebagai khalifah dan pendakwah untuk mengajak manusia mengakui ke jalan kebaikan.

Baginda juga berharap agar semua para peserta mendapat manfaat daripada persidangan ini dan dapat menimba pelbagai ilmu, bertukar pengalaman serta dapat berkenalan antara satu sama lain. – SM

(Visited 49 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button