Krisis Sussex meletus
RABU, 8 Januari lalu, Adipati Sussex, Putera Harry mengumumkan hasratnya untuk keluar dari Istana Buckhingham.
Beliau memutuskan demikian dan mahu hidup bebas seperti rakyat biasa.
Pengumuman itu juga dibuat Henry Charles Albert David, 35, selepas beliau dan isteri menerima tekanan daripada media.
Media tempatan sebelum ini difahamkan menerbitkan berita berat sebelah terhadap Meghan Markle sekali gus memberi tekanan kepada pasangan diraja itu.
[BACA ARTIKEL] Kate, Meghan: Media UK pilih kasih — Suara MerdekaSelain itu, beliau turut mengumumkan akan bekerja mencari pendapatan sendiri tanpa mengharapkan bantuan dari istana.
Bagaimanapun, memetik laporan daripada portal The Guardian, keputusan yang dibuat oleh Harry dan Meghan itu membelakangi keluarga diraja mereka.
“Beberapa bulan kebelakangan ini, kami (Harry dan Meghan) berbincang untuk memulakan hidup baharu bermula tahun ini.
“Justeru kami berhasrat untuk berundur dari Istana dan bekerja seperti rakyat biasa tetapi masih lagi terus menyokong Ratu (Ratu Elizabeth),” katanya.
Katanya dalam satu kenyataan akhbar yang mencetuskan polemik dalam kalangan keluarga diraja itu.
Menurut Harry lagi, beliau dan Meghan sudahpun melakukan persediaan dengan menyifatkan media seperti menggalakkan tindakan itu diambil.
“Dengan galakan daripada kamu sejak beberapa tahun lalu, jadi kami bersedia untuk membuat perubahan.
“Kami boleh mengimbangi kehidupan antara United Kingdom (UK) dan juga Kanada serta terus menyokong Ratu, negara Komanwel dan segala naungannya,” ujarnya.
Tambah beliau, keputusan itu juga diambil bagi membesarkan anak mereka dan memahami tradisi keluarga diraja.
“Kami akan berkongsi maklumat penuh mengenai keputusan ini dan kami akan terus bekerjasama dengan Ratu, Prince of Wales, Adipati Cambridge dan semua pihak.
“Justeru, kami amat menghargai sokongan semua pihak,” katanya. – SM