Nasional

7 anggota JPJ Johor ditahan SPRM, seleweng duit RM3.1 juta dalam masa 6 bulan

Kaunter hadapan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dikenal pasti antara yang mudah terdedah kepada aktiviti jenayah terutama membabitkan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Isu paling kerap berlaku ialah perbuatan salah guna kuasa oleh kakitangan dengan menceroboh sistem JPJ.

Susulan maklumat tersebut, SPRM Negeri Johor telah menahan seramai tujuh petugas kaunter JPJ Negeri Johor hari ini bagi membantu siasatan berhubung urusan cukai jalan Lesen Kenderaan Motor (LKM) melibatkan lebih 1,000 jenis kenderaan bermotor.

Menurut sumber, mereka terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita yang berusia antara 27 hingga 42 tahun.

“Kesemua kakitangan yang ditahan tersebut bertugas di JPJ Negeri Johor.

“Mereka dipercayai telah memanipulasi sistem MYSIKAP bagi urusan cukai jalan LKM yang mana jumlah ketirisan kutipan cukai jalan JPJ Negeri Johor mencecah RM3.1 juta dalam tempoh enam bulan iaitu bermula Julai hingga Disember 2019,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki yang kini berada di Johor Bahru bagi menghadiri mesyuarat bersama SPRM Johor telah mengesahkan tangkapan tersebut.

Menurut beliau, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru esok bagi proses reman dan kes siasatan dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan ini bermula hasil makluman dan kerjasama yang baik oleh Bahagian Integriti dan Pejabat Ketua Pengarah JPJ.

“SPRM akan meneruskan kerjasama dengan JPJ agar langkah pematuhan dan penambahbaikan proses kerja dapat dilakukan sebagai langkah mengelakkan kegiatan rasuah ini berulang khususnya ia menyebabkan ketirisan hasil kerajaan.

“Perkara ini telah dibincangkan dengan Ketua Pengarah JPJ sebelum ini dan perkongsian maklumat seumpama ini dapat meningkatkan integriti dan tadbir urus jabatan sekali gus menutup ruang dan peluang rasuah,” katanya.

Justeru itu, beliau menyeru mana-mana pihak atau agensi untuk memberi maklumat kepada SPRM seperti yang dilakukan oleh pihak Ketua Pengarah JPJ ini.

Tambahnya, masyarakat yang berurusan di kaunter-kaunter jabatan juga diseru untuk ambil peduli dan sentiasa memeriksa resit-resit selepas melakukan urusan di kaunter atau pun ejen-ejen yang dilantik. -SM

(Visited 990 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button