Nasional

50,000 peluang pekerjaan disediakan menerusi PSMB HPC

Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) menyasarkan sebanyak 50,000 peluang pekerjaan kepada rakyat menerusi portal sehenti HRDF Placement Centre (HPC).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, portal tersebut adalah yang pertama diwujudkan dalam negara.

“Portal tersebut akan memadankan majikan dari pelbagai industri dan sektor dengan calon pekerja yang tepat untuk mengisi kekosongan jawatan dengan segera, menawarkan peluang latihan serta peningkatan kemahiran kepada pekerja untuk mengatasi jurang kemahiran tenaga kerja.

“Ia juga akan memberi peluang kepada rakyat untuk berhubung dengan barisan jurulatih dan pelatih dari pelbagai latar belakang untuk mendapatkan bimbingan dan nasihat kerjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran HPC di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir ialah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Pengerusi PSMB, Datuk Jamil Salleh serta Ketua Eksekutif PSMB, Datuk Shahul Hameed Dawood.


Dalam pada itu, M. Saravanan juga berkata yang inisiatif tersebut juga adalah sebahagian daripada usaha untuk menangani kadar pengangguran yang dihadapi negara akibat Covid-19.

Jelasnya, setakat ini, portal tersebut telah menawarkan lebih 19,000 peluang penempatan pekerjaan dan penjanaan pendapatan dengan kerjasama lebih 900 majikan dan rakan strategik.

“Malah, hari ini sahaja, lebih 200 calon telah berjaya mendapatkan pekerjaan di beberapa syarikat dan organisasi terkemuka melalui HPC.

“Dengan penempatan segera, rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang, kemahiran dan pengalaman akan dapat memperoleh sokongan dan bimbingan yang diperlukan untuk memulakan dan membina perjalanan kerjaya mereka,” katanya dalam Majlis Pelancaran HPC, di sini hari ini.

HPC turut dilancarkan oleh Menteri Kewangan, Yang Berhormat Senator, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan disaksikan oleh Pengerusi PSMB, Datuk Jamil Salleh serta Ketua Eksekutif PSMB, Datuk Shahul Hameed Dawood.

Sementara itu, Datuk Shahul Hameed memaklumkan, PSMB berbangga dapat mengumpulkan kesemua rakan strategik, majikan, penyedia latihan dan jurulatih kerjaya dalam satu platform untuk menangani kekurangan tenaga kerja pada masa kini di samping menampung keperluan pekerjaan Negara untuk jangka panjang.

“Saya yakin HPC akan mencapai sasaran mencipta 50,000 peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan pada tahun ini. Ini kerana, pada masa ini, calon dapat mengakses lebih 19,000 pekerjaan di HPC.

“Selain itu, kami berhasrat menjadikan HPC sebagai pusat bagi tenaga kerja Malaysia mempertingkat kemahiran dan pengetahuan mereka, seterusnya memastikan majikan tidak hanya mencipta peluang baharu, tetapi juga mendapatkan tenaga kerja terbaik yang sesuai dengan keperluan perniagaan dan industri mereka,” jelasnya.

Acara penyerahan surat tawaran pekerjaan oleh syarikat dan organisasi yang terlibat kepada HPC menerusi Ketua Eksekutif PSMB ini disaksikan Datuk Seri M. Saravanan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul dan Datuk Shahul Hameed.

Rakyat Malaysia yang ingin mengakses pelbagai peluang perkhidmatan, pekerjaan dan peluang menjana pendapatan dari HPC boleh melayari https://hpc.hrdf.com.my/. -SM

(Visited 126 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button