Politik

Gaji RM1,200: Tak wajar suruh graduan bersabar

KERAJAAN tidak wajar menyuruh graduan bersabar apabila menerima pekerjaan berserta pendapatan serendah RM1,200 dengan menjadikan impak pandemik sebagai alasan.

Sebaliknya, perlu menjelaskan dasar dan perancangan untuk mengatasi masalah itu memandangkan pendapatan RM1,200 yang digariskan kerajaan sebagai jauh ketinggalan.

Ini kerana, paras gaji mengikut Pendapatan Garis Kemiskinan adalah RM2,208 iaitu lebih ketara perbezaannya dibandingkan dengan garis gaji minimum.

Walhal, gaji minimum itu juga disifatkan tidak mampu menampung kos sara hidup yang tinggi di kawasan bandar terutama Lembah Klang.

“Ramai graduan terpaksa bersaing di bandar-bandar bagi mendapatkan peluang pekerjaan terbaik. Namun, peningkatan perbelanjaan di bandar dilihat tidak setara dengan pendapatan yang mereka miliki.


“Kerajaan perlu pantas dan peka dalam keadaan pandemik yang telah meruncingkan tahap ekonomi dan penguncupan permintaan tenaga kerja dengan mengwujudkan inisiatif peluang pekerjaan di luar bandar bagi menurunkan kadar pengangguran.

“Tindakan bijak dan afirmatif amat perlu diketika rakyat dibelenggu dilema kemiskinan dan kesukaran hidup.”

Demikian pendirian dinyatakan Ketua Pergerakan Wira Parti Bumiputera Perkasa (Putra), Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, hari ini dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dipetik dalam pelbagai laporan media menyatakan permintaan dalam pasaran kerja lemah kerana ekonomi negara menguncup 5.6 peratus.

Namun, beliau menjangkakan perubahan positif akan berlaku berdasarkan jangkaan pertumbuhan ekonomi pada tahun ini.

Justeru, Ahli Parlimen Jeli itu menasihatkan supaya graduan mendapat pekerjaan supaya bersyukur walaupun bergaji rendah jika dibandingkan dengan orang lain yang masih menganggur.

Dalam pada itu, Nasrul Ali Hasan dalam kenyataan sama menggesa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibubarkan jika dilihat terus menjadi punca kepada beban rakyat.

“Persoalan Wira Putra, adakah memang cita-cita kerajaan hari ini nak biar anak muda menjadi miskin supaya mudah ikut telunjuk mereka sahaja ke?

“Jika inilah niatnya elok kerajaan PN ini dibubar segera daripada terus menjadi punca beban rakyat.

“Pemimpin yang melompat dilihat seperti hilang kewarasan, hilang pertimbangan dan dilihat makin tidak relevan.

“Cukup-cukuplah khianat mandat rakyat, segera berhenti sebelum terlambat. Jangan sampai nasi menjadi bubur, tak sempat buat langkah pembetulan, jahanam negara nanti!” tegasnya. – SM

(Visited 135 times, 1 visits today)

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button