Nasionalpilihan

48,800 pelatih sedang ikuti latihan dibawah TVET KPLB

SEJUMLAH 48,800 orang pelatih sedang mengikuti pengajian di institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal & Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, KPLB ketika ini.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, jumlah itu dijangka terus meningkat sejajar dengan peluang pekerjaan dan tahap kebolehpasaran pelatih pada paras 87.5 peratus.

“Hari ini kita mula promosi di minggu TVET Negara dan selepas itu kita akan pergi juga ke negeri-negeri lain untuk kita promosikan apa kursus yang kita ada, yang kita boleh tawarkan kepada anak-anak muda kita yang memerlukan sokongan selepas Sijil Pelajaran Malaysia, SPM.

Kita ada tahap sijil, diploma, undergraduate, Sarjana dan PhD, jadi maknanya laluannya boleh semua daripada Sijil Kemahiran Malaysia, SKM.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KPLB 2022 hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri II KPLB, Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Ketua Setiausaha KPLB (Dasar), Datuk Che Murad Sayang Ramjan dan Timbalan Ketua Setiausaha KPLB (Pembangunan), Mas Rizal Mohd Hilmi.

Jelas Mahdzir, antara bidang tumpuan pelatih dan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pemain industri terhadap pelatih TVET KPLB adalah bidang berkaitan digital dan multimedia.

Selain itu, bidang automotif dan kejuruteraan juga mendapat sambutan hangat dalam kalangan pelatih untuk mengikuti pengajian TVET KPLB.

“Apa yang kita buat sekarang ini adalah setiap kursus itu ada kerjasama dengan pemain industri supaya ianya sepadan.

Contohnya kalau kita buat sesuatu kursus, siapa pemain industri yang mahu ambil pelatih tersebut? Jika ada permintaan kita boleh kerjasama siap-siap.”

KPLB tambah Mahdzir, akan berusaha memastikan kebolehpasaran pelatih dan kualiti kursus yang ditawarkan ditingkatkan dengan mengenal pasti kemahiran yang benar-benar boleh dipadankan dengan industri.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata masyarakat perlu mengubah pandangan mengenai TVET yang sebelum ini dianggap sebagai laluan bagi pelajar yang gagal meneruskan pengajian akademik.

“Kita perlu terus bawa lebih banyak success story (pelatih TVET) dalam media sosial dan sebagainya kerana masih ada stigma yang mengatakan TVET ini untuk pelajar yang tidak lepas laluan akademik, padahal TVET itu sudah up to standard already,” katanya.

Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KPLB 2022 berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di perkarangan Aman Jaya Mall Sungai Petani, Kedah.

Ia merupakan medan bagi promosi secara tahunan program TVET yang ditawarkan pelbagai agensi dan jabatan di bawah KPLB bagi menarik minat dan seterusnya meningkatkan pengambilan serta kemasukan pelatih baharu.

Penganjuran Ekspo TVET@KPLB kali ini melibatkan penyertaan dan kerjasama 280 buah Institusi Pendidikan TVET di bawah tujuh agensi utama KPLB.

Antaranya Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Kemajuan Orang Asli, (JAKOA), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) serta agensi wilayah seperti KESEDAR, KETENGAH, KEDA, PERDA dan KEJORA. – SM

Artikel berkaitan > Jom meriahkan Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KPLB 2022 di Sungai Petani!

(Visited 353 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button