Politik

Cabaran Ismail Sabri urus negara tidak pernah dilalui pemimpin lain

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan perdana menteri yang berdepan dengan pelbagai situasi mencabar dalam menguruskan negara yang tidak pernah dilalui oleh perdana menteri lain sebelum ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Menurutnya, sepanjang pentadbiran Ismail Sabri, beliau terpaksa mengendalikan pelbagai isu antaranya mengawal pandemik COVID-19, menguruskan impak kenaikan harga minyak dan menyatukan kerjasama kerajaan dan pembangkang melalui Memorandum Persefahaman (MoU).

“Perkara-perkara ini meletakkan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri yang daripada UMNO dalam situasi yang tidak pernah dialamai mana-mana PM lain. Jadi tidak wajar penilaian yang merendah-rendahkan PM dari parti sendiri, PM yang di endorse oleh UMNO dan mewakili parti UMNO,” katanya dalam sidang media hari semalam.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Ketua Umno Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed yang dilaporkan melabel Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri daripada UMNO paling lemah dalam sejarah negara kerana didakwa tidak boleh membuat keputusan atau menegaskan kuasanya.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata walaupun setiap pihak bebas mengeluarkan pandangan peribadi, penilaian Nur Jazlan dilihat mempunyai kekurangan dalam membuat penilaian.

“Dia (Nur Jazlan) bukan seorang yang berada dalam kerajaan jadi banyak benda dia tak tahu… dia bukan seorang yang rapat dengan PM, lagilah banyak dia tak tahu, apatah lagi kalau dia ada niat, lagi lah dia terpengaruh dengan political inclination dia.

“Macam mana ada PM mewakili parti yang hanya ada 38 kerusi dan berhempas pulas dengan COVID-19 serta cabaran ekonomi, sepatutnya kita bantu dan bersimpati, tetapi sebaliknya ada yang buat tuduhan tidak berasas,” katanya.

Annuar turut mempersoalkan tindakan ahli UMNO yang cuba melemahkan pemimpin daripada parti sendiri sedangkan ada pihak lain yang memberi sokongan kepada kepimpinan perdana menteri. – BERNAMA

(Visited 290 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button