JenayahMahkamahNasional

3 lelaki termasuk dua beradik didakwa rogol adik ipar rakan

TIGA lelaki termasuk dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan merogol wanita yang juga adik ipar rakan mereka secara bergilir-gilir di sebuah rumah, bulan lalu.

Nik Mohammad Rahimin Mat Zaid, 33, dan adiknya, Nik Khaira Hafizi Mat Zaid, 28, serta rakan mereka, Mohd Zulhilmi Zainuddin, 33, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norina Zainol Abidin.

Mengikut pertuduhan, Nik Mohammad Rahimin, seorang mekanik dan dua lagi tertuduh yang bekerja di kedai makan, didakwa bersama-sama dengan sengaja melakukan kesalahan merogol seorang wanita berusia 26 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kediaman di Wangsa Maju antara jam 2 pagi dan 3.30 pagi, 30 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun serta sebatan dan dibaca bersama-sama seksyen 34 kanun yang sama.

Susulan pengakuan tidak bersalah berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya, Noorhani Muhmmed Ayub tidak menawarkan jaminan dan membantah sebarang jaminan diberikan kepada tertuduh.

“Pendakwaan tidak membenarkan jaminan kerana ia adalah kes serius membabitkan rogol berkumpulan oleh tiga tertuduh.

“Kalau diberi jaminan, tertuduh kemungkinan tidak hadir ke mahkamah. Mengikut siasatan polis, ketiga-tiga tertuduh adalah rakan kepada abang ipar mangsa,” katanya.

Semua tertuduh tidak diwakili peguam merayu supaya diberikan jaminan masing-masing atas alasan perlu menanggung isteri serta anak berusia antara enam bulan sehingga 12 tahun.

Norina tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 12 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen serta pelantikan peguam.

Pada Jumaat lalu, seorang bapa empat anak didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana bersubahat dengan membenarkan sekumpulan rakannya merogol adik iparnya.

Bagaimanapun, penganggur berusia 29 tahun itu mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim, Izralizam Sanusi. – SM

BACA Nak langsaikan hutang abang ipar biarkan adik ipar dirogol bergilir-gilir
BACA Imam berhadapan 12 pertuduhan rogol, amang seksual terhadap adik ipar

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button