Nasional

25,000 dos vaksin Covid-19 untuk rakyat Kedah

KEDAH akan menerima 25,000 dos vaksin bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan fasa pertama yang dijadualkan bermula pada Jumaat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, keutamaan untuk fasa pertama ialah para petugas barisan hadapan di negeri ini.

Katanya, kumpulan yang akan menerima suntikan vaksin tersebut ialah anggota dan pegawai polis, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) selain kakitangan hospital.

“Kesemua dos vaksin berkenaan akan terlebih dahulu disimpan di tiga hospital yang diwartakan sebagai pusat pengumpulan vaksin negeri.

“Ia kemudiannya akan diagihkan ke pusat kesihatan di seluruh Kedah selain beberapa dewan termasuk Dewan LADA, Langkawi dan Dewan Wawasan, Kubang Pasu,” katanya di Alor Setar hari ini.

Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri telah bersedia 100 peratus untuk melaksanakan proses suntikan vaksin yang dijangka bulan depan.

Malah katanya, semalam beliau bermesyuarat dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memaklumkan tarikh untuk proses suntikan vaksin belum ditetapkan.

“Cuma dari segi logistik kita perlu susun betul-betul sebab vaksin tidak akan bertahan lama jika dikeluarkan dari tempat penyimpanan -80 darjah celcius. Ia hanya akan bertahan lima hari jika disimpan pada suhu dua hingga lapan darjah celcius,” katanya.

Tiga hospital di negeri Kedah dipilih sebagai lokasi untuk dijadikan sebagai pusat penyimpanan dan pengumpulan vaksin sebelum diedarkan ke kesemua Pusat Kesihatan terpilih bagi proses penerimaan suntikan.

Hospital berkenaan adalah Hospital Sultanah Bahiyah 2, Alor Setar, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani dan Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.

(Visited 200 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button