Cadangan Najib agar SPR, KKM rangka SOP PRU15 tidak boleh diterima akal
BEKAS Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh mempersoalkan tindakan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan agar Kementerian Kesihatan (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mula merangka prosedur operasi standard untuk mengadakan pilihan raya umum.
Ahli Parlimen DAP Segambut itu berkata, cadangan Najib tersebut sebagai bukti paling jelas Ahli Parlimen BN Pekan itu telah meletakkan kepentingan politik beliau mengatasi kepentingan negara.
“Adalah sesuatu yang tidak boleh diterima akal apabila cadangan seperti itu datang daripada seorang Najib Razak.
“Sekiranya ada keperluan untuk meyakinkan rakyat bahawa UMNO dan Perikatan Nasional hanya mahu merebut kuasa dan jawatan dalam GLC (Syarikat Berkaitan Kerajaan), ingatlah cadangan di atas.
“Perdana Menteri perlu menasihatkan ahli parlimennya supaya berhenti meruntuhkan pemerintahan majoriti tipisnya.” kata Hannah.
Hannah mengulas laporan berita bertajuk “Snap polls likely if political uncertainty stays, says Najib” yang disiarkan semalam.
Dalam laporan itu Najib didakwa mencadangan Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Pilihanraya mula merangka prosedur operasi standard untuk Pilihan Raya Umum ke-15.
Jelas Hannah, cadangan itu tidak wajar kerana negara masih berhadapan dengan isu Covid-19 yang menyaksikan sekolah ditutup dan ramai hilang pekerjaan.
“Ketika sekolah masih belum lagi dibuka, kedai gunting rambut hilang pendapatan selama 3 bulan dan sebahagian rakyat diberhentikan kerja, pemimpin UMNO ini hanya sibuk mencadangkan untuk diadakan pilihanraya.
“Beliau malah sampai peringkat mencadangkan kepada Menteri Kesihatan dan Suruhanjaya Pilihanraya untuk segera merangka SOP untuk menghadapi pilihanraya,” kata Hannah.
Dalam Facebooknya semalam, Najib berkata, jika PN dan PH terus tidak dapat mencapai perbezaan sokongan majoriti di Parlimen yang nyata menjelang sidang parlimen akan datang, adalah lebih baik untuk semua pihak menghentikan drama politik dan membiarkan kerja pemulihan ekonomi dilakukan tanpa gangguan.
Bagaimanapun Najib menasihatkan agar KKM dan SPR merangka prosedur operasi standard untuk pilihan raya kerana PRU15 tidak dapat dielakkan sekiranya politik negara terus tidak stabil.
“Apapun, Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya perlu mula merangka prosedur operasi standard mengendalikan pilihan raya. Ini kerana kemungkinan PRU15 bakal diadakan adalah sangat tinggi jika politik negara terus bergolak.
“Biarpun wabak Covid-19 di dalam keadaan terkawal, mengadakan pilihan raya adalah satu risiko yang amat besar kepada kesihatan rakyat dan ekonomi negara.
“Jika politik negara terus bergolak sehingga pimpinan kerajaan tidak dapat memfokuskan kerja memulihkan ekonomi negara ekoran perintah kawalan pergerakan (PKP), percayalah majoriti rakyat akan lebih rela memilih untuk berdepan dengan risiko yang ada dan menuntut Parlimen dibubarkan. Ini kerana majoriti rakyat sudah berasa muak dengan drama politik yang sedang berlaku hari ini,” kata Najib.-SM