fbpx
Nasional

18 juta sarung tangan perubatan akan dihantar ke Wuhan

SEBANYAK 18 juta sarung tangan perubatan akan disumbangkan oleh 10 syarikat sarung tangan Malaysia untuk pekerja penjagaan kesihatan di Wuhan, China yang kini berhadapan dengan wabak 2019 novel koronavirus.

Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata sarung tangan perubatan getah asli dan getah nitril akan dihantar ke China secara berperingkat dengan penghantaran pertama dalam perjalanan ke Wuhan.

“Dua syarikat, Top Glove dan Supermax telah menyumbangkan 2.3 juta sarung tangan melalui pejabat dan pengedar tempatan mereka ke Wuhan.

“Syarikat-syarikat sarung tangan lain yang menyokong usaha kemanusiaan itu adalah Hartalega, MREPC, Smart Glove, Kossan, YTY, Brightway, Koon Seng dan Careplus,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan penyerahan sarung tangan perubatan oleh wakil syarikat terlibat kepada Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian.


Malaysia ketika ini adalah peneraju dunia dalam pengeluaran sarung tangan perubatan dengan kira-kira 180 bilion keping dieksport ke seluruh dunia.

Pada tahun 2018, eksport sarung tangan Malaysia menyumbang RM17.7 bilion kepada negara manakala pada tahun 2019, eksport mencecah RM18 bilion.

Pada tahun 2014, Malaysia menghantar lebih 20 juta sarung tangan getah perubatan ke lima negara Afrika (Liberia, Sierra Leone, Guinea, Nigeria dan Congo) yang berhadapan dengan penularan virus Ebola. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button