Politik

150,000 komputer riba tak cukup – Ahmad

PEMBERIAN bantuan komputer riba sebanyak 150,000 kepada murid seperti yang diluluskan dalam Belanjawan 2021 dijangka tidak mencukupi.

Ini kerana jumlah tersebut tidak setimpal dengan jumlah keseluruhan pelajar di sekolah rendah dan menengah diseluruh negara.

Malah, peruntukan yang diberikan menerusi belanjawan itu juga hanya membabitkan perbelanjaan RM150 juta atau sekitar 0.05 peratus sahaja daripada jumlah Belanjawan 2021 yang diluluskan.

Oleh demikian, kerajaan diminta untuk meneliti semula supaya 60 peratus pelajar yang memerlukan bantuan kelengkapan bagi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR).

“150,000 komputer riba untuk 4,987,401 murid baru tiga peratus. Tentu tidak cukup. Sekitar 60 peratus yang perlu peranti atau gajet tetapi tak mampu.”


Demikian ringkas kata Setiasusaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, dalam kenyataan hari ini mengulas laporan akhbar mengenai bantuan komputer kepada pelajar.

Sebelum ini, pelbagai media melaporkan ramai keluarga dalam kalangan golongan B40 dan M40 menghadapi kesukaran untuk melaksanakan PdPR bagi anak-anak mereka.

Antara kekangan yang dihadapi adalah, kekurangan atau ketiadaan kelengkapan seperti komputer riba atau telefon pintar serta pakej liputan internet di rumah.

Malah untuk makluman, sehingga Julai 2020 terdapat 7,780 buah sekolah rendah dan 2,440 buah sekolah menengah menjadikan keseluruhan sekolah sebanyak 10,220.

Daripada itu juga, terdapat 208,131 pelajar berada di peringkat pra sekolah, rendah (2,741,837) dan menengah (2,037,433) menjadikan jumlah keseluruhan pelajar adalah 4,987,401 orang.

Menurut Ahmad, daripada jumlah tersebut sebanyak 1,994,960 orang pelajar memerlukan bantuan komputer dan liputan internet bagi meneruskan PdPR.

Malah, memetik kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan, memberitahu kerajaan hanya perlu membelanjakan RM3 bilion daripada Belanjawan 2021 untuk memberikan bantuan komputer kepada semua pelajar B40 dan M40.

Jumlah itu juga dikatakan tidak sampai satu peratus daripada Belanjawan 2021 yang bernilai RM322.5 bilion.

Oleh demikian, Ahmad menggesa kerajaan bersikap serius menyelesaikan isu berkaitan PdPR ini dan perlu memastikan pelajar tidak keciciran dalam pelajaran.

“Kerajaan perlu serius untuk selesai isu ini. Jika tidak PdPR akan gagal & nasib rakyat akan terjejas

“Prihatin Rakyat pegangan ramai kita dan Kerajaan PN (Perikatan Nasional) mesti membantu,” tegasnya. – SM

(Visited 125 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button