Nasional

15 guru Maldives ikuti latihan perkembangan profesional guru di UPSI

Seramai 15 guru dari Maldives yang terdiri daripada guru perdana dan guru pendidikan khas hadir mengikuti latihan perkembangan profesional guru bertemakan ketidakupayaan inklusif dan pengurusan tingkah laku daripada perspektif bidang terapi cara kerja di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Ketua projek perundingan, Dr Hasrul Hosshan berkata kumpulan guru berkenaan berpeluang menjalani latihan bersama pasukan pakar pendidikan khas di bawah Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Orang Kurang Upaya dan Komuniti Inklusif, Fakulti Pembangunan Manusia UPSI sejak tahun 2015 dan ini adalah kumpulan kohort yang ke- 6.

Prof Marzita bersama guru dari Maldives selepas merasmikan program di Scholar’s Suites.

“Permintaan dan situasi semasa terutama dalam polisi dan pelaksaan pendidikan inklusif di Maldives, telah membawa delegasi ini untuk datang mendapatkan latihan dan pengalaman yang berbeza daripada amalan terapi cara kerja,” katanya.

Beliau berkata latihan pada edisi tahun 2022 kali ini diterajui oleh pasukan perunding daripada Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) yang diketuai beliau sendiri berlangsung selama tiga hari bermula pada 5 hingga 7 Julai 2022 di Bilik Seminar Aminuddin Baki, FPM Kampus Sultan Azlan Shah UPSI.

Dr Hasrul bersama guru-guru SMKKJ yang menyambut kehadiran guru Maldives.

Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Dr Mazita Puteh, ketika menyampaikan ucapan perasmian di Scholar Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, melahirkan rasa keterujaan dan bangga universiti dalam menerima delegasi antarabangsa yang menjadikan UPSI sebagai pakar rujuk dan mendapatkan latihan bersama pakar-pakar di UPSI.

Prof Dr. Mazita berkata program itu membuka lebih banyak peluang dan kerjasama yang dapat dijalankan di antara UPSI dan Kerajaan Maldives pada masa hadapan, malah bukan hanya tertumpu dalam bidang Pendidikan Khas sahaja, tetapi juga bidang pendidikan lain yang sesuai dengan identiti UPSI sebagai Universiti No.1 dalam Pendidikan.


Prof Marzita (tengah) bersama Dekan FPM, Prof Madya Dr. Abdul Talib Mohmed Hashim; Pengarah Akademik, Prof Madya Dr Abd Rahim Razalli (enam dari kanan); Dr Hasrul (tujuh dari kiri) bersama guru-guru dari Maldives di Fakulti Pembangunan Manusia UPSI.

Selain itu, katanya, persekitaran kondusif universiti berlatarbelakang banjaran Titiwangsa menimbulkan minat pelatih untuk bengkel untuk menyambung pengajian pasca siswazah di UPSI.
Katanya, ini menjadi faktor yang menarik dicadang supaya dilakukan lebih banyak promosi pascasiswazah kepada bakal-bakal pelajar dari Maldives pada masa akan datang.
Pada hari kedua latihan, pelatih bengkel didedahkan dengan intervensi model video dalam latihan vokasional kepada murid bekeperluan pendidikan khas.

Pakar bidang, Dr Nurbieta Abd Aziz mendedahkan pelatih bengkel dengan mempraktikkan latihan video agar dapat meningkatkan kemahiran murid bekeperluan khas.

Seorang guru dari Maldives melihat hasil kraftangan pelajar PPKI SMKKJ.

Fasiliti luar biasa melalui latihan dan praktis di Makmal Snoezelen dan Makmal Multisensori di Blok 9 FPM turut membuka mata pelatih bengkel Maldives dalam memahami isu tingkah laku dan latihan vokasional.
Selain itu peserta latihan dari Maldives juga mendapat kerjasama komuniti Tanjung Malim melalui lawatan ke sekolah yang menawarkan fasiliti latihan vokasional pada hari terakhir latihan di Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari (SMKKJ).

Pengetua SMKKJ, Aman Shah Idris melahirkan rasa kagum dengan semangat guru daripada Maldives untuk mempelajari sesuatu tentang praktif kelas inklusif untuk dibawa pulang ke negara mereka.
Selain itu, katanya, pelbagai hasil latihan dan kemahiran yang ada di Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dipamerkan seperti hasil kerja kemahiran-kemahiran murid bekeperluan pendidikan khas iaitu penghasilan makanan dan kraftangan.

Pelajar PPKI turut mempersembahkan keupayaan mereka dalam ko kurikulum, seperti seni tarian dan bermain kompang semasa sambutan selamat datang delegasi daripada Maldives. Wakil delegasi Maldives, Shafarul Huda Mohamed melahirkan rasa terharu beliau atas sambutan cemerlang kakitangan FPM UPSI serta SMKKJ sepanjang latihan dijalankan.

(Visited 261 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button