SERAMAI 140 gelandangan di sekitar ibu kota diselamatkan dan ditempatkan sementara di dua pusat sementara gelandangan (PSG) di Sentul Perdana dan Setiawangsa, di sini malam tadi, dalam usaha membendung penularan COVID-19 sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mahadi Che Ngah berkata mereka dijangka ditempatkan di pusat itu hingga penghujung Februari ini sebelum dibawa ke Pusat Transformasi Gelandangan di Taman Desa (tapak bekas Desa Water Park) pada awal Mac dan dibantu mendapatkan pekerjaan.
“Di sini, mereka akan diberi latihan kemahiran supaya mereka boleh mendapat pekerjaan tetap bagi menyara hidup. Antara latihan yang dirancang adalah menjalankan pertanian bandar dan kemahiran lain yang bersesuaian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Malam tadi, Mahadi meluangkan masa menyertai operasi menyelamatkan gelandangan yang melibatkan 95 anggota penguatkuasa daripada pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Imigresen.
Pada masa yang sama, Mahadi berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mencari penyelesaian menyeluruh untuk menangani isu gelandangan itu termasuk dengan menyediakan tempat perlindungan bagi mereka.
“Satu program yang lebih tersusun sedang dirangka bagi memudahkan pengurusan dari sudut pengagihan makanan kepada golongan ini oleh badan bukan kerajaan (NGO) atau pihak persendirian.
“Sistem pengagihan makanan pada ketika ini dilihat tidak lagi sesuai dilakukan di pusat bandar raya kerana ia menyebabkan kesesakan lalu lintas dan meninggalkan kesan negatif dari aspek pengurusan perbandaran,” katanya. – BERNAMA