12,000 anggota bomba siap sedia hadapi kebakaran hutan
MELAKA 8 Februari – Selepas banjir besar melanda Selangor, Pahang, Johor dan Kelantan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bakal berdepan bencana kebakaran hutan bakal melanda beberapa buah negeri yang dijangka bulan depan.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohamad Hamdan Wahid berkata, perubahan iklim iaitu musim panas berpanjangan Mac ini akan berlakunya musim kemarau, krisis air dan kebakaran hutan seperti yang berlaku sebelum ini.
Menurutnya, bagi menghadapi bencana tersebut, seluruh anggota JBPM seramai 12,000 orang yang bertugas dalam kejadian banjir besar bulan lalu kini diarahkan bersiap sedia bagi menghadapi bencana kebakaran hutan pula.
“Musim panas Mac ini, kita sudah jangka akan berlaku kebakaran hutan khususnya di kawasan ‘hotspot’ iaitu di Perak, Pahang, Selangor serta negeri-negeri di Utara dan Selatan.
“Semua anggota bomba dibekukan cuti bagi menghadapi bencana itu namun hal tersebut boleh ditentukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri masing-masing untuk menyelaraskan cuti,” ujarnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Ibu Pejabat JBPM Melaka yang telah disempurnakan Yang Di-Pertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di Bukit Katil di sini.
Yang turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dan Pengarah JBPM negeri, Penolong Pesuruhjaya Abu Bakar Katain.
Mengulas lanjut Mohamad Hamdan berkata, semua aset logistik seperti kenderaan pengangkutan, sistem pam, helikopter dan penggunaan dron sedia untuk digerakkan jika berlaku bencana tersebut.
Menurutnya, seramai 12,000 anggota bomba di seluruh negara telah diarahkan berada dalam kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana kebakaran hutan ekoran musim panas.
“Perubahan iklim bulan depan akan berlaku krisis air dan kemarau serta situasi ini juga boleh menyebabkan berlakunya kebakaran hutan,” ujarnya.