Nasional

Bomba ambil masa 7 jam cuci tumpahan bahan kimia akibat lori terbalik

Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor terpaksa mengambil masa selama tujuh jam untuk membersihkan tumpahan bahan kimia di Lebuhraya Kewajipan, Subang Jaya susulan kemalangan melibatkan sebuah lori yang terbalik malam tadi.

Pengarahnya, Norazam Khamis berkata, kerja-kerja pembersihan dilakukan pada pukul 9.22 malam dengan bantuan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT).

“Bomba menerima panggilan kemalangan itu pada jam 9.16 malam. Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya serta dari BBP Shah Alam membabitkan kekuatan 13 anggota kemudian dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, pemeriksaan mendapati lori kontena 20 tan terbalik di sisi jalan dan berlaku tumpahan bahan kimia jenis pengkakis (Virukill),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Norazam, pihaknya telah membuat semburan air pada kontena berkenaan manakala pasukan HAZMAT menabur soda di sekitar kawasan terkena bahan kimia.

Tambahnya, tindakan terakhir bomba adalah membuat semburan air di kawasan berkenaan bagi memastikannya bersih dan tiada sisa bahan kimia sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya jam 4 pagi. -SM

(Visited 226 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button