1,000 banduan terpilih diupah buat kerja bersih pembentung
WALAUPUN berstatus banduan dan duduk di sebalik tirai besi, boleh sahaja melakukan kerja-kerja yang berfaedah untuk masyarakat.
Mulai 1 Julai ini, kira-kira 1,000 orang banduan akan diupah untuk melakukan kerja-kerja membersihkan pembetung di Bangkok, Thailand.
Ia adalah sebagai usaha untuk mengatasi masalah banjir di kawasan rendah di bandar raya itu ketika musim hujan.
Ketua Pengarah Jabatan Penjara (DoC), Aryut Sinthopphan berkata, hanya banduan dari 10 penjara sahaja dan mempunyai rekod baik akan diambil bekerja.
Beliau berkata, tiada paksaan dan banduan yang berminat boleh memohon.
“Semasa bekerja, banduan tidak dibenarkan berjalan di kawasan awam dan tidak dibenarkan bertemu ahli keluarga dan saudara-mara.
“DoC akan menyediakan makanan kepada banduan. Upah akan diberikan apabila mereka menamatkan hukuman dan dibebaskan dari penjara,” katanya semalam.
Sebelum ini, bekas gabenor Bangkok, Aswin Kwanmuang menghentikan program itu selama dua tahun disebabkan pandemik Covid-19.
Media tempatan melaporkan, Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt pada Selasa lalu bertemu Aryut untuk berbincang bagi menyambung semula program tersebut.
Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) merancang untuk membersihkan saluran pembetung sepanjang 6,000 kilometer (km) dengan peruntukan 15 juta Baht.
Sebagai permulaan, pembentung sepanjang 500 km dijangka dibersihkan dalam tempoh empat bulan pertama.
Sementara itu, Menteri Kehakiman, Somsak Thepsuthin berkata, DoC bersedia menghantar banduan untuk membersihkan pembetung.
“Seramai 1,000 banduan dijangka membersihkan kira-kira 25 km pembetung dalam sehari,” jelas beliau. – SM