
Shahrol Shiro buat laporan Polis terhadap Harith Iskander berhubung isu sensitiviti agama
PELAWAK terkenal, Shahrol Shiro, mengambil tindakan tegas dengan membuat laporan polis terhadap pelawak senior, Harith Iskander, selepas Harith didakwa cuba mempersendakan isu berkaitan agama Islam.
“Sebagai pelawak, tidak semua sudut pandang boleh dijadikan bahan lawak. Adakalanya kita patut lebih sensitif, lebih-lebih lagi apabila melibatkan agama kita.”
Shahrol turut meluahkan rasa kecewa terhadap komen yang ditinggalkan oleh sebahagian pengikut di hantaran Harith. Menurutnya, tindakan Harith membuka ruang untuk agama dijadikan bahan jenaka mengundang komen yang menghina dan merendahkan martabat agama.
“Apabila saudara Harith Iskander membuka ruang agama dijadikan satu bahan yang boleh dipersenda, maka pengikut juga akan ikut serta meninggalkan komentar yang tidak sensitif terhadap agama kita. Perkara ini sudah melampaui batas, dan satu laporan polis akan dibuat.”
Selain itu, Shahrol turut membuat laporan terhadap seorang individu bernama Cecelia Yap, yang meninggalkan komen tidak sopan berkenaan Nabi Muhammad SAW. Komen tersebut mencetuskan kemarahan dalam kalangan netizen, yang mengingatkan Cecelia agar tidak bermain dengan nama Nabi Muhammad SAW.
Tindakan Shahrol mendapat sokongan daripada ramai pihak yang menyifatkan tindakan beliau sebagai wajar untuk memelihara kesucian agama. Menurut mereka, jenaka yang melibatkan sensitiviti agama tidak boleh dibiarkan kerana ia berpotensi mencetuskan ketegangan.
“Shahrol Shiro telah menunaikan tanggungjawabnya. Kini, kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menentukan tindakan terhadap individu yang terlibat,” kata salah seorang pengguna media sosial.
Sebelum ini, kontroversi bermula apabila Harith Iskander membuat jenaka berkenaan perkataan “Ham” dalam satu hantaran di media sosial. Dalam hantaran tersebut, beliau merujuk kepada isu berkaitan produk tidak halal yang baru-baru ini dijual di sebuah premis.
“Saya sangat keliru. Imam saya tergugat. Kopi ini akan membuatkan saya menyimpang dalam banyak cara. Bukan sahaja cuba menarik saya untuk menjadi hamsap, tetapi juga mengelirukan saya dengan perkataan ‘ham’ di dalamnya. Ini untuk minum atau makan? Saya harus membuat laporan polis kerana saya sangat lemah dan hilang keupayaan menggunakan logik akal. Ada sesiapa lagi yang keliru?”
Hantaran tersebut dianggap oleh ramai pihak sebagai tidak sensitif, lebih-lebih lagi apabila ia menyentuh isu halal dan haram yang melibatkan agama Islam.