Politik

10 syarat menteri keluar dari `zon bahaya’?

Analisis

BILA agaknya rombakan Kabinet akan berlaku?
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah dua tiga kali bercakap mengenai prestasi `markah 50 peratus’ ahli-ahli Kabinetnya yang mungkin dirombak sebelum penganjuran Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) November tahun depan.
Lagi pun yang teramat penting lagi, tahun 2020 yang akan memasuki gerbangnya lima hari lagi memerlukan barisan Kabinet yang mantap dan dinamik.
Selain perlu menangani sentimen ekonomi semasa tidak menentu hari ini, kerajaan Pakatan Harapan (PH) berdepan cabaran cukup getir melayan blok pembangkang UMNO-Pas serta jentera media sosial `hantu raya tidak bertuan’ yang semakin agresif dan terancang menerusi fakta-fakta dan bukti kukuh dalam membongkar kelemahan menteri-menteri kerajaan.
Apa resipi atau formula dalam memastikan PH khususnya sebahagian besar menterinya yang dicap `tidak bermaya’ ini untuk keluar dari zon bahaya, sekali gus tidak tersingkir dalam rombakan Kabinet yang bakal berlaku bila-bila masa sahaja dari sekarang?
Suara Merdeka mencatatkan beberapa input berikut yang barangkali boleh direnungi dan dipraktikkan oleh menteri-menteri terbabit memasuki tahun 2020:

1. HINDARI ‘POLITIK WAJAH’
-PH dikatakan `tinggal harapan’ disebabkan prestasi menteri-menterinya tidak seberapa? Boleh tanya bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, beliau lebih maklum.
Sebilangan kita mungkin teruja dengan menteri tertentu kerana `politik wajah’. Walhal, akibatnya mereka menerima `politik wajah berduri’. Hanya semata-mata popular kerana apa yang dimuatnaik dalam Instagram, WhatsApp atau Facebook, ia populariti sekejap.
Kecenderungan rakyat pastinya terarah kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) menteri. Kekacakan adalah `politik wajah’ sementara, yang akhirnya `perut’ (sara hidup) jugalah realiti pilihan rakyat.

2. JANGAN `MANDULKAN’ JAWATAN
– Kalau jawatan seseorang itu `dimandulkan’, ia sudah lari dari perjuangan asas tetang nilai. Juga hak-hak asasi menteri untuk memperbaiki keadaan.
Tumpukan perhatian serius pada soal-soal ketrampilan, integriti dan isi jati. Elakkan retorik mengampu.

3. CANANGKAN REKOD BAIK KERAJAAN
– Harus ada satu perasaan bersedia untuk membentang atau mencanangkan rekod-rekod yang baik kerajaan dalam setahun tujuh bulan ini yang sudah laksanakan. Usah terlalu banyak `pukul’ orang dari kerajaan terdahulu. Itu dunia sudah tahu. Jika pihak-pihak dalam kerajaan yang lepas terlibat dalam penyelewengan, hadapkan saja mereka ke mahkamah. Tak payah lagi `gendang kecapi’ itu ini.

4. PERANAN BESAR KEMENTERIAN KOMUNIKASI
-Kementerian Komunikasi dan Multimedia mesti memainkan peranan lebih ke depan untuk memaklum serta melahirkan kenyataan-kenyataan yang berupa kecapaian kerajaan PH hari ini.
Cuma sayangnya tidak kelihatan ‘kegarangan’ kementerian ini dalam menguar-uarkan
capaian-capaian yang telah dijayakan Dr. Mahathir dan rakan-rakan. Takkanlah nak harapkan media sosial. Kementerian mesti jalankan tugas ini.

Related Articles

5. KEMBALIKAN WAJAH SEBENAR WISMA PUTRA
– Suatu ketika dalam mengendalikan sesuatu isu antarabangsa, Menteri Luar kita kebiasaannya akan membuat hubungan interpersonal terlebih dahulu. Berjumpa dahulu menteri sesama menteri dengan minum kopi, teh. Dengan Menteri Luar Singapura dahulu, George Yeo, menteri luar kita setiap minggu ada perbincangan. Bila sudah buntu, baru kedua-duanya pergi ke peringkat tinggi antara Perdana Menteri dengan Perdana Menteri. Kita faham ini ada dibuat tetapi terbaiknya dikhususkan macam Malaysia, Singapura, Thailand dan Filipina mesti ada hubungan istimewa hingga `angkat gagang telefon’ bercakap. Ini supaya kita tidak ketinggalan.

6. LATIH DUTA BAHASA INGGERIS ARAS TINGGI
– Harus digerakkan latihan untuk para duta kita dalam bidang bahasa Inggeris aras tinggi. Kebanyakan pegawai yang saki baki sekarang kurang capaian bahasanya disebabkan bahasa Inggeris yang kerap digunakan di peringkat antarabangsa. Dahulu, Malaysia terkenal sebab kebolehan menteri luar kita beretorik, berhujah dan melapor menerusi bahasa Inggeris. Kita dihormati oleh Washington. Trend dihormati ini perlu dikembalikan. Kita maklum ada yang handal-handal tapi perlu ada barisan hebat pemimpin, pemidato, pelapor, communicator dan mereka yang boleh buat rumusan dengan daya fikir tinggi dan diplomasinya.

7. KUASAI ASEAN
-Perkara penting ialah dalam hubungan ASEAN, kita mesti berani bercakap. Semasa era Dr. Mahathir (1982-2002) dan kini sekali lagi, beliau sudah mula balik mengemukakan beberapa pandangan misalannya sekarang soal hak-hak asasi manusia. Tetapi dalam ASEAN, apabila umat Islam Rohingya dimusnahkan, didera, ASEAN tidak cakap apa-apa. Diam terus. Begitupun mesti wujud dalam ASEAN kesedaran ini, bukan peringkat kita tapi ASEAN. Indonesia pun tidak berminat isu Rohingya. Kuala Lumpur berminat disebabkan pada masa itu (sebelum PRU-14), keadaan memerlukan kita buat pendirian. Apatah lagi pelarian Rohingya itu menuju ke Malaysia dahulu, kemudian Indonesia.

8. MANIFESTO `JANJI TINGGAL JANJI’?
– Adakah tidak ada koordinasi yang bersungguh-sungguh daripada jawatankuasa pembuat manifesto PH untuk melaksanakannya? Benarkah mereka yang menganggotai jawatankuasa manifesto PRU-14 ini tempoh hari kebanyakannya sudah jadi menteri? Maka untuk melihat `roh’ pelaksanaan manifesto sepenuhnya barangkali tidak akan kesampaian kerana masing-masing sudah `dibuai’ jawatan menteri.

9. KE MANA TAHAP INTELEK MELAYU?
– Intelek Melayu terlampau bergantung kepada imbuhan atau hal-hal berkaitan dengan habuan, pangkat dan kedudukan. Mereka tidak berani seperti dahulu menyuarakan hal tertentu demi kebenaran, perjuangan dan keintelektualan mereka. Menjadi seorang intelek bererti seseorang itu berani mengemukakan yang benar. Berani kilas suara yang salah berpandukan ilmu, nilai sejagat dan Islam.
Kalau seseorang itu intelek atau yang berkuasa di menara gading atau seseorang yang tinggi namanya sebagai pemikir tetapi tidak berani menyanggahi perkara yang nampak tidak baik, tak benar, itu dikira sudah lari dari tanggungjawab asas seorang pemikir, intelek.
Menteri-menteri Melayu dalam kerajaan hari ini adakah begitu perangainya?

10. GAGASAN BAHARU BERTERAS RAS, ETNIK?
– Sejauh mana kepentingan Melayu dijaga dalam era Malaysia Baharu PH terus mencetuskan persepsi dan polemik. Jika hak-hak kaum pribumi ini tidak terjaga, nantikanlah natijahnya.
Adakah pengundian pada PRU-15 kelak berasaskan ras-etnik dan isu-isu perkauman? Mungkinkah UMNO, Pas, Bersatu (sebahagiannya), Amanah dan PKR bakal menubuhkan satu gagasan baharu menjelang PRU-15? Dan menjadi dominan membentuk kerajaan baharu?

– SUARA MERDEKA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button