Zaid Ibrahim bukan lagi Pengerusi DAP Kelantan
BEKAS menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Zaid Ibrahim bukan lagi Pengerusi DAP Kelantan.
Zaid yang dilantik ke jawatan tersebut pada 10 Januari tahun ini mendedahkan perkara tersebut di Twitternya.
“Ramai yang masih memaparkan saya sebagai Ketua DAP Kelantan. Ia tidak lagi benar. Tapi apa yang saya boleh katakan, saya masih seorang peguam di tengah-tengah 20,000 yang lain,” ciap Zaid di Twitter.
Zaid yang membuat pendedahan itu pada pukul 12.27 tengah hari tadi bagaimanapun tidak menghiraukan beberapa pertanyaan daripada pengikutnya.
Antaranya ada yang bertanya sama ada beliau masih menjadi ahli parti pimpinan Lim Guan Eng itu ataupun telah keluar daripada DAP.
Pelantikan Zaid sebagai Pengerusi DAP Kelantan diputuskan sebulat suara dalam mesyuarat yang turut melantik 16 anggota jawatankuasa (AJK) protem yang lain.
Perkara itu diumumkan dalam acara penyerahan cek peruntukan kepada pertubuhan-pertubuhan di Dewan Besar Tok Kong Mek, Kampung Cina, Kota Bharu, Kelantan pada 10 Januari.
Pada waktu itu, Zaid berkata, penubuhan AJK protem itu adalah langkah bagi memperkuat kedudukan parti dalam mendekati rakyat di Kelantan dengan lebih rapat.
“Kami berpendapat DAP harus memberi penjelasan untuk lebih menjwab tuduhan dari parti politik lain kononnya ini parti Cina, rasis, komunis.
“Ini tak menguntungkan sesiapa, malah memberi mudarat kepada kita,” katanya ketika itu.
Zaid berkata, dia akan memberi tumpuan untuk memberi penjelasan dan menjawab kebimbangan rakyat, khususnya orang Melayu di Kelantan dan menjelaskan mengapa mereka perlu berfikiran lebih terbuka serta lebih memahami keperluan masyarakat.
Zaid pernah menjadi menteri selama beberapa bulan pada 2008, dan pernah menganggotai Umno, PKR, Kita sebelum menjadi ahli DAP sejak 2017.-SM