Rencah Hidup

Agong ucap takziah kepada keluarga Allahyarham Paimuzi

YANG di-Pertuan Agung Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Paimuzi Yahya yang kembali ke Rahmatullah tengah hari tadi.

Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa sedih terhadap pemergian Allahyarham.

Baginda berharap agar seluruh keluarga Allahyarhamah sabar dan tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.

Titah Baginda, khidmat bakti dan jasa Allahyarham kepada masyarakat dan negara khususnya dalam pentadbiran hal ehwal Islam amat dihargai.

“Seri Paduka Baginda mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” kata kenyataan tersebut.

Allahyarhan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (1985) dan Ijazah Sarjana (1995) dalam bidang Syariah dari Universiti Malaya.

Mula menyertai perkhidmatan awam pada tahun 1986 dengan memulakan tugas sebagai Penolong Pengarah Pusat Penyelidikan Islam Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri.

Allahyarham berpengalaman lebih tiga dekad di dalam perkhidmatan Hal Ehwal Islam dan telah memegang beberapa portfolio penting sepanjang kerjayanya.

Antara jawatan penting yang pernah disandang ialah Pengarah JAKIM Sabah pada tahun 2005, Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (2008), Pengarah Darul Quran tahun (2010) dan Pengarah JAWI (2013).

Pada tahun 2016, Allahyarham dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) JAKIM. Pada tahun 2017, Allahyarham dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan pada tahun 2018, dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM.

Allahyarham dilantik sebagai Ketua Pengarah JAKIM pada bulan Januari, tahun ini.-SM

(Visited 157 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button