Analisis

Zahid takut dengan bayang-bayang sendiri

KALAU Zahid Hamidi seorang pemimpin yang bijak beliau akan menggunakan mood positif di Sungai Buloh yang dibawa oleh Khairy Jamaluddin.

Sebaliknya dek kerana takut dengan bayang-bayang sendiri beliau terus menyerang Khairy sebagai syiok sendiri dan sepatutnya berterima-kasih kepadanya.

Apabila Khairy atau KJ umum akan membawa pengundi Sungai Buloh ke tahap lebih tinggi apabila menang kelak dengan berhasrat untuk memimpin UMNO dan menjadi Perdana Menteri ia mendapat reaksi yang sangat positif.

Ini menunjukkan rakyat bukan benci UMNO, tetapi benci pemimpinnya kebanyakan penjilat dan pengampu. Jadi tidak mustahil KJ akan menang di Sungai Buloh walaupun ia kubu kuat Pakatan Harapan (PH) di mana kerusi itu dimenangi dengan 26,000 undi majoriti.

Zahid sepatutnya lega kerana di dalam safnya ada pemimpin seperti KJ yang berani berhadapan dengan cabaran, sedangkan Zahid sendiri tidak berani berbuat demikian.

Zahid terus bertahan di Bagan Datuk yang dimenanginya dengan majoriti 5,000 undi dan tidak seperti cikgunya Anwar Ibrahim yang berpindah ke Tambun dari Port Dickson.

Mohamad Hassan lagi tidak boleh diharap kerusi Rembau dirembatnya dari KJ, mentang-mentang kawasan sudah diputihkan oleh KJ.

Begitulah Zahid politiknya semberono pilihan raya dibuat ketika musim tengkujuh dan UMNO tidak punyai cukup dana menyebabkan persiapan Barisan Nasional (BN) paling cabuk yang pernah kita lihat.

BN cuba menggunakan jentera kerajaan untuk kempen kali ini, tetapi Zahid terlebih cerdik habis pak-pak menteri dikeratnya. Program membabitkan kementerian terhenti secara automatik.

Kononnya mahu membuang “warlord” dan diganti dengan muka baharu, tetapi Tengku Razaleigh Hamzah bukan saja warlord, tetapi sudah jadi Yoda masih dikekalkan.

Lebih teruk Ku Li telah mengasingkan diri dari BN dan UMNO di Parlimen.

Rahsia yang ramai tidak tahu mereka yang Zahid labelkan sebagai Warlord ini ialah mereka yang menggagalkan Jajaran Baharu mahu mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri dan Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Noh Omar “runner” kumpulan 15 ahli parlimen BN yang menyokong Jajaran Baharu telah menarik sokongan pada saat akhir dengan diikuti enam yang lain. Sebab itu Noh dipancung.

Annuar Musa “runner” di satu lagi pihak juga dipancung kali ini.

Zahid tahu pemimpin level heavyweight ini akan menyebabkan BN kehilangan kerusi apabila digugurkan, tetapi ia memberi harapan kepada mereka berangan-angan untuk menjadi calon dan masuk ke dalam saf kepimpinan parti serta kerajaan.

Kalau tidak menjadi calon, dapat memegang jawatan ahli lembaga pelawat hospital pun sudah cukup menggembirakan mereka yang selama ini merasakan dipinggirkan sekian lama.

Jadi apabila Zahid membawa UMNO bersekongkol dengan DAP di dalam Jajaran Baharu, mereka akan tetap menyokong.

Alasannya mudah sahaja semua parti pernah tidur sebantal dengan DAP, apa salahnya kali ini UMNO pula mengambil tempat. Bukan tukar agama pun.

Sebab itu pemimpin DAP hanya berkempen secara senyap sahaja dan membiarkan pemimpin Melayu PKR seperti Rafizi Ramli ke depan.

Selepas membentuk kerajaan jajaran baharu kelak, DAP akan bergerak di belakang sekitar setahun, untuk menyejukkan suasana. Mereka tidak akan menonjolkan diri seperti baru-baru mendapat kerajaan pada pilihan raya yang lalu.

Oleh itu pengundi perlu cerdik menolak DAP tonggak PH dan menolak pemimpin yang kemarukkan Jajaran Baharu. – SM

 

 

(Visited 1,621 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button