Rencana

Zahid masih sebahagian daripada gerakan reformasi

PADA satu hari pada tahun 1998 aku singgah di pejabat Adnan Yaakob. Pada ketika itu beliau hanya exco kerajaan negeri Pahang.

Adnan berkata kepada aku bahawa ketua pengarang Utusan Malaysia, Johan Jaffar akan dipecat dan Anwar Ibrahim akan ditangkap.

Aku ragu-ragu dengan pernyataan Adnan itu, tetapi selang beberapa hari memang perkara itu berlaku, maka bermulalah perubahan mendadak landskap politik negara.

Seorang demi seorang pemimpin politik ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), termasuklah Ahmad Zahid Hamidi. Ramai penyokong melarikan diri ke luar negara dan paling ramai lari ke Indonesia.

Menteri besar ketika itu Khalil Yaakob. Dan Adnan ialah exco yang diterpinggir kerana tidak menyokong Anwar, sebaliknya beliau menyokong Ghaffar Baba dan merupakan satu-satunya pemimpin Pahang yang tidak menyokong Anwar.

Penangkapan beramai-ramai orang politik itu selepas Anwar pemimpin yang meroket ke jawatan timbalan perdana menteri dan hanya selangkah sahaja lagi untuk menjadi perdana menteri melancarkan gerakan menjatuhkan Dr. Mahathir Mohamad.

Serangan terhadap Mahathir dirancang pada perhimpunan agung UMNO dan Ruslan Kassim pemimpin muda yang terkenal lantang berucap menyerang Mahathir yang didakwa mengamalkan kronisme dan nepotisme. Itu buat pertama kali rakyat negara ini mendengar istilah itu dan ramai yang terkulat-kulat tidak memahaminya.

Sepatutnya tiba giliran Zahid selaku ketua pemuda UMNO berucap dengan hujah dan mahu mendedahkan senara kroni Mahathir. Bagaimanapun Mahathir lebih cekap telah mengeluarkan senara kroni Anwar.

Setelah Anwar dan Zahid ditangkap serta beberapa pemimpin lain, tercetuslah gerakan reformasi yang serentak juga berlaku di Indonesia. Bezanya di negara tetangga berkenaan pemerintahan Suharto selama 30 tahun tumbang, manakala Mahathir berjaya mengekangnya.

Apabila Anwar merengkok di dalam penjara ketika itulah ditubuhkan PKR bagi menuntut keadilan terhadap pemimpin mereka.

Zahid bagaimanapun selepas dibebaskan daripada ISA, meletakkan jawatan sebagai ketua pemuda dan kekal di dalam UMNO.

Zahid juga mulai rapat dengan Najib Razak yang akhirnya menjadi perdana menteri, tetapi malangnya kini merengkok di dalam penjara kerana kes SRC, selepas Barisan Nasional (BN) tewas pada pilihan raya yang lalu.

Kesempatan itu diambil oleh Zahid untuk mengambil-alih parti selepas Najib didesak untuk melepaskan jawatan presiden. Pada pemilihan parti berikutnya Zahid dipilih sebagai presiden.

Sebagai pembangkang, UMNO sangat berkesan tetapi Zahid dan gerombolannya merancang pelbagai gerakan termasuk untuk membentuk jajaran baharu iaitu bekerjasama dengan Pakatan Harapan bagi membentuk kerajaan yang baharu.

Kebetulan ketika itu Mahathir selaku perdana menteri kehilangan sokongan majoriti apabila DAP tidak menyokongnya lagi telah meletakkan jawatan.

UMNO akhirnya bergabung dengan Bersatu serta Pas dan beberapa parti kecil yang lain membentuk kerjasama menubuhkan kerajaan Perikatan Nasionak (PN).

Selepas tujuh bulan Muhyiddin Yassin memerintah tiba-tiba Anwar tampil dengan satu lagi episod bahawa beliau mempunyai sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan.

Lebih mengejutkan apabila Zahid turut menyatakan sekumpulan pemimpin UMNO juga juga menyokong Anwar. Kenyataan itu dibuat ketika pilihan raya negeri Sabah sedang berlangsung.

Ketika itu aku bertugas di Utusan Malaysia apabila menerima berita berkenaan, bagaikan tidak percaya. Aku bertindak menelefon Zahid dan menghantar mesej, tetapi tidak dijawab.

“Saya dimaklumkan ramai ahli-ahli parlimen yang mengambil keputusan untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Beliau dikatakan berhasrat untuk mengadap KDYMM Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan hasratnya sebagainya dimaklumi.” Zahid dipetik Utusan Malaysia.

Apabila negara berdepan dengan pilihan raya kali ini kisah jajaran baharu kembali menampilkan diri.

Kisahnya agak berbeza kali ini, tetapi penamatnya yang dirancang tetap sama iaitu Anwar akan menjadi perdana menteri.

Perancangannya BN dijangka menang sekitar 40 kerusi dan PH memenangi 80 kerusi dan mereka bergabung membentuk jajaran baharu. Anwar jadi perdana menteri dan anak didiknya Zahid menjadi timbalan perdana menteri.

Sejauhmana kebenarannya masa yang akan membuktikannya. Bagaimanapun ia tidak akan lama kerana pada 19 November rakyat akan mengundi dan mereka yang menentukan nasib diri sendiri.

Jika undi majoriti diberi kepada BN makan gagasan itulah yang memerintah, Ismail Sabri Yaakob bakal menjadi perdana menteri, manakala jika PN memperolehi mandat, maka Muhyiddin akan menjadi perdana menteri buat kali kedua, begitulah jika PH menang besar Anwar akhirnya menjadi perdana menteri.

Jika semua pihak tidak mempunyai jumlah kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan mereka akan bergabung bagi membentuk kerajaan.

Oh lupa kisah Adnan. Beliau akhirnya dilantik sebagai menteri besar oleh Mahathir. Mungkin Mahathir pelik dan kagum kerana ada seorang yang berani menentang Anwar ketika itu.

 

(Visited 2,025 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button