Yuna pernah tak nak kahwin kerana…
MENJADI kebiasaan buat petugas media untuk membuat liputan berkenaan perkahwinan selebriti tempatan sama ada di majlis pernikahan atau resepsi persandingan.
Tetapi berbeza pula dengan penyanyi tempatan yang dikenali diperingkat antarabangsa iaitu Yuna.
Pada majlis perkahwinannya pada 2018, kebanyakan media tempatan menyiarkan berita tersebut menerusi kenyataan media dan gambar perkahwinan yang disediakan pihak Yuna.
Namun, ada sebab rupanya mengapa Yuna berbuat demikian dan satu daripada sebabnya ialah berkenaan dengan dirinya.
“Ketakutan saya sewaktu mula masuk ke industri muzik dan menjadi seorang pesonaliti yang dikenali ialah apabila perkahwinan saya diserbu orang.
“Saya adalah seorang yang sangat inginkan ruang privasi dan tidak mahu hal tersebut merosakkan perkahwinan saya,” katanya.
Menurut Yuna lagi, dia pernah memberitahu ibunya yang tidak mahu berkahwin hanya kerana risau perkara itu terjadi.
Namun jelas penyanyi lagu Stay Where You Are itu, dia berasa gembira kerana perkara itu tidak terjadi sewaktu majlis perkahwinannya.
“Ada khabar angin yang mengatakan kru televisyen cuba untuk mencari lokasi perkahwinan saya tetapi tidak jumpa.
“Hari perkahwinan itu adalah hari yang paling gembira disepanjang hidup saya,” katanya.
Yuna turut memberitahu yang majlis perkahwinannya itu adalah begitu berharga kerana dia dapat meluangkan masa bersama dengan ahli keluarganya sama ada yang masih hidup mahupun yang telah tiada. -SM