Hiburan

Mengintai ‘Bisikan Dosa’ filem seram penuh Twist dari Yusrych Global

SETELAH kejayaan besar filem seram pertama Islamik dari Thailand, Khong Khaek, Yusrych Global Sdn Bhd kini kembali dengan sebuah filem seram terbaru berjudul Bisikan Dosa.

Filem ini dibintangi oleh pelakon hebat seperti Uqasha Senrose, Sara Ali, Farid Kamil, Che Puan Juliana Evans, Sherry Merlis, dan Syazuwan Hassan, serta diarahkan oleh Faizul A.

Filem Bisikan Dosa

Rashid. Menurut Yusry Makmor, Penerbit & Pengasas Yusrych Global Sdn Bhd, Bisikan Dosa dijangka menjadi filem seram box office yang bakal membuka tirai tahun 2025, disokong oleh Finas serta rakan strategik pemasaran seperti Primeworks Studios dan Media Prima Bhd.

Yusry mengungkapkan bahawa idea untuk menghasilkan Bisikan Dosa tercetus ketika beliau bersama Zaf Ran sedang membincangkan filem-filem seram yang kini menjadi tarikan utama penonton. “Filem ini adalah naskhah yang sangat tepat untuk diangkat menjadi sebuah filem seram yang bakal mencipta fenomena baru buat penonton yang masih mendambakan filem seram tempatan,” katanya.

Menurutnya lagi, filem ini menyentuh tema yang relevan dengan masyarakat masa kini, seperti amalan syirik dan khurafat seperti mandi bunga, yang masih diamalkan oleh sesetengah individu, tanpa mengira latar belakang dan zaman moden yang kita jalani.

“Penceritaan Bisikan Dosa adalah realistik, dan ia memberi satu pandangan yang mendalam tentang perkara-perkara yang masih wujud dalam kehidupan seharian kita,” tambah Yusry.

Pembikinan Bisikan Dosa juga tidak terlepas dari cabaran tersendiri. Namun, ia tetap dianggap sebagai sebuah naskhah yang menarik dan penuh dengan kejutan.

“Antara tarikan utama filem ini adalah plot twist yang tidak dijangka oleh penonton, kesan solekan yang unik, serta lakonan mantap dari setiap pelakon. Mereka saling mendukung watak masing-masing dengan sangat serasi, menghasilkan persembahan yang memukau,” jelas Yusry.

Bagi Faizul A. Rashid, pengarah filem ini, Bisikan Dosa menawarkan lebih dari sekadar elemen seram.

“Penceritaannya sangat menarik dan penuh dengan misteri yang membuatkan penonton ingin terus menonton hingga ke akhirnya. Saya pastikan babak-babak seram dan jumpscare dipersembahkan dengan tahap terbaik bagi memberikan kepuasan kepada penonton,” katanya.

Faizul juga berpuas hati dengan prestasi lakonan barisan pelakon, yang telah membuat persiapan rapi sebelum penggambaran.

“Skrip diberikan beberapa bulan lebih awal, dan para pelakon turut menyertai kelas lakonan. Jadi, setiap pelakon sudah bersedia sepenuhnya dengan watak mereka,” jelas Faizul.

Bisikan Dosa mengisahkan tentang Sarimah, seorang wanita yang berpindah ke Kuala Lumpur untuk memulakan hidup baru selepas tragedi kematian anak kecilnya dan kekecewaan dengan bekas suami yang telah berkahwin lain. Dia mula bekerja sebagai pembantu rumah bagi keluarga Ayden, tetapi tidak lama selepas itu, Sarimah diganggu oleh roh tidak tenang yang dikenali dari sebuah potret keluarga. Roh tersebut adalah Zara, arwah isteri Ayden.

Filem seram Bisikan Dosa dijangka bakal menghantui penonton di pawagam Malaysia, Singapura, dan Brunei pada 9 Januari 2025. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan fenomena seram ini!

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button