Politik

Waspada gelagat calon ‘warlords’ Bersatu

Oleh WARTAWAN SUARA MERDEKA

Komentar

HINGGAP di telinga Suara Merdeka ada unsur-unsur warlords dalam pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) waktu ini.

Dalam keghairahan itu, ada yang terlajak laris menonjolkan diri. Ada pula sudah terbayang mimpi indah jika dipilih perwakilan dalam perebutan ketua bahagian dan menyusul 18 April nanti untuk mengisi kekosongan 25 ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Tidak kurang pula yang cemas dan panas punggung jika diketepikan. Isu pemilihan calon ‘warlords’ bukanlah baharu.

‘Warlords’ atau ‘otai-otai’ politik ini sudah mempunyai track-record dan sudah masak dengan permainan politik. Ini memberi kelebihan semasa dicalonkan.

Walau siapa pun yang terpilih, perkembangan politik era digital kini memberi cabaran besar akan kewibawaan politik, baik warlords atau muka baharu. Jadi, bagaimanakah cara mereka mendekati dan meyakinkan perwakilan dan menang?

Dalam memilih calon bertanding, perwakilan perlu memiliki sikap tegas dan konsisten terhadap pujukan dan desakan pihak yang melobi untuk menjadi calon khususnya dalam kalangan ketua bahagian.

Jangan sampai di saat akhir, perwakilan berlembut hati dan menerima calon ‘parachute’.

Suara Merdeka yakin perwakilan perlu bersikap ‘telinga gajah’ terhadap sebarang rayuan, Dalam konteks menetapkan kriteria calon bertanding, faktor “sure menang” mesti diambil perhatian oleh perwakilan kerana yang hendak kita pilih ini bukannya wakil parti tapi wakil rakyat akan datang dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

Suasana politik kini sudah banyak berubah.Trend dan tingkah laku pengundi berfikir turut berubah. Namun, jika pemilihan calon menggunakan kaedah lama dan masih tidak berubah, jangan sampai nanti parti yang rebah.

Persoalannya, beranikah perwakilan untuk tidak memilih mereka yang `terdesak’ dan `mendesak’ ini tetapi menampilkan calon yang mempunyai persona dan karakter yang pasti menang.

Justeru semua perlu mengambil sikap ‘ukur baju di badan sendiri’. Seseorang yang tidak berpotensi tinggi untuk menang tidak akan terkejar-kejar melonjakkan diri untuk dipilih.

Berdasarkan analisis di atas, Bersatu perlu mempertimbangkan beberapa saranan iaitu;

Pertama, Bersatu perlu menampilkan calon ketua bahagian yang mendukung inspirasi parti dan dekat dengan rakyat sehingga perasaan rakyat begitu terikat dengan perjuangan kepimpinan.

Justeru, tidak mustahil mencalonkan muka baharu yang memiliki kehebatan dan keunikan tersendiri untuk menang dan tidak rugi menampilkan ‘warlords’ yang peratus kemenangan amat jelas.

Kedua, yang dipilih bertanding nanti harus faham bahawa yang ingin dicari dalam pemilihan ialah watak sebagai wakil rakyat bukannya sekadar calon. Calon yang dipilih memikul amanah perjuangan untuk membangun dan menjayakan bangsa Melayu menjadi bangsa besar dan bermaruah tinggi.

Ketiga, jangan ‘kitar semula’ formula mencari calon ketua bahagian, Armada dan Serikandi dan MPT.

Bersatu harus terima hakikat, ketua bahagian yang ada isu serta tidak mempunyai ciri -ciri ‘winnable’ dan ‘likeable’ , perlu ditolak dahulu oleh parti sebelum disingkirkan oleh pengundi pada PRU nanti.

Keempat, pastikan Bersatu berani mengemukakan calon baharu dan popular bagi menggantikan tempat warlords.

Kelima, warlords atau ketua bahagian yang hendak dipilih perlu diterima rakyat terlebih dahulu bukannya layak kerana jawatan ketua bahagian atau ketua armada/serikandi.

Congakan atau perkiraan seumpama itu tidak boleh diguna pakai pada pemilihan ketua bahagian, apatah lagi PRU 15. Mereka harus menerima perkara ini dengan hati yang terbuka. Jangan pula apabila tidak terpilih, ada ‘gerombolan rombongan’ ke Putrajaya untuk cubaan pujuk rayu.

Sejujurnya, seluruh ahli parti lebih-lebih lagi perwakilan perlu memerhatikan sahaja dengan dekat sikap, watak dan gelagat warlords yang berjiwa besar ini adakah berani melakukan pengorbanan demi parti yang sedang diuji dan berada di persimpangan jalan yang amat getir.
Dijangkakan pada PRU-15 nanti, perang saraf media akan berlaku dengan hebat sekali. Kesedaran politik akan meningkat dengan luar biasa dan pola ayunan sokongan pengundi juga akan berubah.

Justeru, bukan masa untuk berbangga dengan jenama parti.

Isyarat sudah amat jelas. Kekuatan Bersatu terletak kepada keberanian pucuk pimpinan untuk mempertaruhkan calon tanpa pengaruh pemimpin atasan.

Calon terpilih mestilah yang disukai ramai dan berkredibiliti serta mantap di dalam dua sfera khalayak yang berbeza iaitu khalayak fizikal dan khalayak media arus perdana dan media sosial.

– SM

(Visited 609 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button