Nasional

Warga Indonesia cedera diserang gajah liar

Seorang warga Indonesia cedera dipercayai diserang gajah liar, ketika cuba membuka pintu pagar Ladang Sungai Sayong, dekat sini, awal pagi semalam.

Pengarah PERHILITAN Johor Salman Saaban berkata, Nadang Surnarya, 49, yang juga pekerja ladang kelapa sawit berkenaan, dipercayai diserang salah seekor gajah dari kumpulan gajah, yang difahamkan melalui kawasan ladang berkenaan, yang merupakan laluan mamalia berkenaan.

“Sekitar jam 10 pagi, Pejabat PERHILITAN Daerah Kluang telah menerima aduan daripada kerani ladang berkenaan, mengenai salah seorang pekerja mereka telah tercedera diserang gajah.

“Kejadian  berlaku pada jam lebih kurang 7.30 pagi berhampiran pintu masuk ladang, di mana ketika itu mangsa berseorangan untuk membuka pintu pagar, namun telah diserang oleh salah seekor dari kumpulan gajah, yang tanpa disedarinya datang dari arah berdekatan,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Salman berkata warga Indonesia itu telah ditemui oleh salah seorang pekerja ladang lain pada jam lebih kurang 8 pagi, dan terus dibawa ke Hospital Kluang untuk pemeriksaan lanjut.

“Kedua-dua bahagian kaki mangsa didapati patah, serta terdapat kecederaan di bahagian luaran badan mangsa selain lebam di bahagian mukanya,” kata Salman seperti yang dilaporkan oleh BERNAMA.

Hasil siasatan mendapati ladang tersebut mempunyai sistem pagar elektrik gajah.

Selain itu, kawasan ladang berkenaan juga merupakan kawasan laluan utama Kumpulan Gajah Taman Negeri Johor, yang dianggarkan sebanyak 40  hingga  50 ekor.

Menurut Salman, pihaknya akan terus memantau gajah-gajah berkenaan.

Tambah beliau, kejadian ini merupakan kejadian pertama manusia diserang gajah di negeri Johor pada tahun ini.

Tahun lepas, terdapat dua kes gajah menyerang manusia di negeri Johor melibatkan satu kematian. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button