Jenayah

Wanita warga emas mandi di sungai, hilang dibaham buaya

SEORANG wanita warga emas dilaporkan hilang dikhuatiri dibaham buaya ketika sedang mandi di Sungai Sugut, Beluran, semalam.

Ketua Polis Daerah Beluran, Supt. Kasim Muda berkata, kehilangan mangsa, Peredot Kanon,62, dari Kampung Banang Sugut, dilaporkan pada pukul 9.36 malam tadi.

“Anak mangsa memberitahu telah menyaksikan kejadian seekor buaya dari arah ulu Sungai Sugut menyambar mangsa.

“Saksi (anak mangsa) cuba untuk menyelamatkan mangsa namun gagal sebelum balik untuk memaklumkan kejadian itu kepada bapanya,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Menurut Kasim, operasi mencari dan menyelamat di Sungai Sugut yang dijalankan melibatkan pelbagai agensi penyelamat.

Ini termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dari balai Beluran dan Angkatan Pertahanan Awam. Bagaimanapun operasi mencari dan menyelamat itu gagal menemukan mangsa sehingga pukul 5.30 petang.

Operasi mencari itu akan disambung semula pada pukul 7 pagi esok. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button