MahkamahNasional

Wanita warga emas dipenjara setahun simbah asid

MAHKAMAH Majistret Selayang menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan ke atas seorang wanita warga emas kerana menyimbah asid ke atas seorang lelaki warga Pakistan sehingga mengalami kelecuran tahap satu di bahu kanan dan belakang badan, minggu lalu.

Majistret Chai Guan Hock menjatuhkan hukuman itu terhadap Saira Abdullah, 62, selepas mengaku bersalah mencederakan Inam Ullah, 37, menggunakan cecair kimia dalam lif Blok B Pangsapuri Laksamana Jaya, Kampung Laksamana, Batu Caves, Gombak, pada jam 1.10 pagi, 4 Julai lalu.

“Tertuduh mengaku bersalah dan menjimatkan masa dan kos mahkamah. Dengan mengambil kira faktor kepentingan awam dan keseriusan kesalahan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bermula tarikh tangkapan pada 9 Julai lalu,” kata majistret itu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Peguam Izleen Ismail dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Selangor yang mewakili Saira merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya, seorang mualaf kini dalam proses penceraian dengan suaminya, selain mengalami kemurungan teruk serta menghidap penyakit darah tinggi.

“Wanita ini sudah 32 tahun berumahtangga dengan suaminya. Bagaimanapun, tiga tahun lepas, dia mendapat tahu suaminya mempunyai hubungan sulit dengan perempuan lain,” kata peguam itu dan menambah anak guamnya tiada rekod kesalahan lampau.

Dalam kes ini, katanya, tertuduh mendakwa dia diprovokasi mangsa (Inam) yang mahu berkawan dengannya, walaupun lelaki itu sudah berkahwin.

“Tertuduh tidak boleh berfikir dengan betul dan mengambil tindakan sendiri (menyimbah cecair kimia) dan dia amat menyesali perbuatannya,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal memohon hukuman berat berbentuk pengajaran terhadap tertuduh, mengambil kira kecederaan dialami mangsa atas faktor kepentingan awam perlu mengatasi kepentingan tertuduh.

Mengikut fakta kes, pemeriksaan doktor mendapati mangsa melecur tahap satu di bahu kanan dan belakang badan.

Dalam prosiding sama, Saira mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sengaja mencederakan Jemilah Sabda, 60, isteri kepada Inam di tempat, waktu dan tarikh sama, juga mengikut seksyen sama.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 September ini untuk sebutan semula kes. – FMT – SM

BACA Isteri simbah asid kepada suami curang

BACA Dua beradik disahkan cacat kekal, terkena serbuk asid soda paip jiran

BACA Wanita warga emas direman simbah asid terhadap suami isteri

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button