Rencah Hidup

Wanita Islam hanya teman suami hadir majlis pertunangan anak di kuil  

GEORGETOWN – Tiada isu. Wanita Melayu Islam dan bertudung yang berada di dalam kuil hanya menemani suami menghadiri upacara pertunangan anak kepada lelaki tersebut.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Abdul Malik Abul Kassim menjelaskan pihaknya sudah menjalankan siasatan berhubung kehadiran wanita Islam tersebut pada upacara pertunangan di sebuah kuil di Air Itam.

Siasatan tersebut dilakukan selepas tiga keping gambar seorang wanita Melayu Islam dan bertudung berada di dalam sebuah kuil di Flat Rifle Range, Kampung Baharu Air Itam  telah disebarkan oleh warganet di media sosial dan menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat.

Menurut Abdul Malik, hasil siasatan pihaknya mendapati wanita Melayu Islam yang hadir pada upacara pertunangan itu adalah isteri kepada bapa lelaki yang bertunang dalam majlis berkenaan.

Lelaki yang bertunang tersebut hasil perkongsian hidup suami wanita Islam itu dengan bekas isteri pertama yang masih beragama Hindu.

“Lelaki tersebut sudah memeluk agama Islam dan dia hanya menghadiri majlis pertunangan anaknya bersama isteri keduanya di kuil tersebut.

“Oleh itu, tiada isu mengenai perkara ini, hanya persepsi melalui gambar yang ditular,” katanya.

Sebelum ini Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dilaporkan akan menyiasat aduan berhubung kehadiran wanita Melayu beragama Islam dalam upacara pertunangan di di sebuah kuil di Air Itam, Georgetown.

Jurucakap JHEAIPP berkata, mereka menerima aduan mengenai perkara itu daripada masyarakat selepas gambar-gambar yang dimuat naik di media sosial itu mengundang pelbagai persepsi daripada warganet.- SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button