Politik

Wan Saiful curiga ‘khemah besar’ DAP, syak peranan kluster merunggut

IDEA ‘khemah besar’ yang kini dijaja oleh DAP untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 menimbulkan perasaan curiga kepada Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Menurutnya, konsep khemah besar tersebut melambangkan bahawa DAP tidak keseorangan dan ada rakan dari parti lain yang akan bersama dalam jajaran baru khemah besar DAP tersebut.

“Soalan saya ialah, siapa yang akan bersekongkol dalam khemah besar jajaran baru yang menjadi strategi DAP ini?

“Mungkinkah salah satu strategi khemah besar ini ialah merahsiakan komposisi dan “deal” jajaran baru sebelum PRU15 untuk mengelabui mata rakyat, tetapi selepas PRU15 barulah komposisi khemah besar dinyatakan?

“Adakah memecah belahkan undi Melayu dan membiarkan tokoh politik Melayu menyucikan imej DAP juga menjadi strategi memenangkan khemah besar DAP ini?

“Adakah rakyat Malaysia mahu melihat DAP kembali menjadi Menteri Kewangan malahan mungkin jadi Timbalan Perdana Menteri?” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong yang berkata DAP adalah adalah “kerajaan menanti” dalam Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Idea khemah besar itu turut dicetuskan Chin Tong dalam ucapannya di Konvensyen Biasa DAP Johor 2021 semalam.

Menurut Wan Saiful, kenyataan Chin Tong tersebut menggambarkan keyakinan DAP bahawa mereka akan kembali memerintah Malaysia untuk melaksanakan dasar-dasar aliran kiri yang menjadi ideologi DAP.

Wan Saiful turut melahirkan perasaan curiga kerana DAP kini tidak lagi banyak merungut seperti dahulu.

Beliau dalam kenyataan di media sosial mengesyaki peranan tersebut kini diambil alih oleh ‘kluster merunggut’.

“Tapi dalam diam, tiba-tiba sahaja DAP menzahirkan keyakinan bahawa mereka adalah kerajaan menanti.

“Mungkinkah peranan merungut itu telah di “outsource” kepada kluster merungut yang bekerja keras membantu DAP merebut kuasa melalui jajaran baru khemah besar ini?

“Ini adalah soalan-soalan yang kita mesti tekuni. Kerana pemimpin nasional DAP tidak akan bercakap sebegitu jika mereka tidak ada keyakinan atau tidak ada “deal” dengan sesiapa mengenai aturan sebenar jajaran baru khemah besar selepas PRU-15,” kata Wan Saiful.

Wan Saiful sebelum ini memberikan gelaran kluster merunggut kepada segelintir pemimpin besar UMNO yang seringkali meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap dasar Kerajaan Perikatan Nasional.

Semalam, Chin Tong berkata pada PRU-15 parti DAP tidak lagi masuk bertanding sebagai parti pembangkang.

Sebaliknya, DAP bertanding sebagai parti yang mempunyai pengalaman mentadbir kerajaan. Chin Tong berkata DAP tidak boleh lagi bertindak sendirian dalam perjuangan PRU nanti.

Katanya, DAP perlu bekerjasama dan bersolidariti dengan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan dan parti-parti pembangkang yang sehaluan.

“Idea “Big Tent” atau “khemah besar” yang dilontarkan oleh Lim Guan Eng adalah sangat relevan dalam konteks politik Johor.

“Matlamat PRU15 adalah untuk meluaskan gerakan kita di luar sempadan lama serta berusaha menubuhkan kerajaan negeri Johor dan kerajaan Persekutuan,” katanya.-SM

 

(Visited 223 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button