Ekonomi

Visi Bank Rakyat jadi bank koperasi Islam progresif no. 1

BANK Rakyat hari ini melancarkan visi dan misinya dalam melangkah ke tahun 2021. Dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar visi terbaharu Bank Rakyat untuk menjadi ‘Bank Koperasi Islam Progresif nombor satu di Malaysia’.

Sementara misi terbaharunya pula adalah untuk ‘Memacu kemakmuran ekonomi anggota, pelanggan dan negara bangsa’.

Melalui visi dan misi tersebut, Wan Junaidi berkata, Bank Rakyat bersedia untuk lebih ke hadapan dalam memberi sokongan akses kewangan yang holistik kepada pelbagai segmen, termasuk koperasi, anggota dan pelanggan bank, serta negara bangsa secara menyeluruh.

Wan Junaidi

Ia juga salah satu inisiatif jangka panjang Bank Rakyat dalam mengukuhkan kedudukannya agar kekal relevan dengan keperluan semasa yang menuntut setiap organisasi menjadi lebih inovatif dan dinamik untuk maju ke hadapan.

Misi dan visi itu juga sejajar dengan aspirasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk menghidupkan semula sektor koperasi dan keusahawanan melalui spektrum pendigitalan, inovasi dan teknologi.


Menurut Wan Junaidi, adalah penting bagi agensi Kerajaan termasuk institusi perbankan memahami permasalahan serta keresahan masyarakat yang diakibatkan oleh Covid-19.

Jelasnya pihak terbabit termasuk Bank Islam bertindak dengan pantas bagi melindungi golongan yang terjejas, terutamanya golongan yang berpendapatan rendah atau B40 di samping menjamin kelangsungan perniagaan serta sosioekonomi negara.

“Visi dan misi baharu ini juga akan memastikan kelangsungan jaminan akses kewangan 100 peratus patuh Syariah kepada usahawan, koperasi, industri kecil dan sederhana (IKS).

“Serta syarikat perniagaan yang memerlukan untuk mengembangkan perniagaan mereka, terutamanya dalam persekitaran ekonomi yang mencabar susulan penularan pandemik COVID-19,” kata Wan Junaidi.

Majlis pelancaran yang juga dihadiri oleh Pengerusi Bank Rakyat Datuk Abdul Rani Lebai Jaafar dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan mencatatkan sejarahnya yang tersendiri apabila dilakukan secara maya.

Ia turut dihadiri oleh semua ketua wilayah dan pengurus cawangan Bank Rakyat seramai 147 orang dari lokasi masing-masing di seluruh negara.

Bank Rakyat yang ditubuhkan pada 1954 telah berkembang menjadi sebuah institusi kewangan yang disegani di Malaysia dan kekal sebagai bank pilihan selama 66 tahun melalui keupayaannya melahirkan legasi yang tiada tandingan.-SM

(Visited 227 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button