Rencah Hidup

View point Wang Kelian serlah ‘syurga’ alam

SIAPA sangka sebuah lereng kecil pada laluan berbukit untuk ke Wang Kelian iaitu pintu sempadan Malaysia-Thailand, terserlah pemandangan indah yang memaparkan ‘seluruh negara’.

Mana tidaknya… lereng yang dulu sunyi tak pernah ‘luak’ atau lekang dengan pengunjung. Mereka datang bukan sahaja dari awal pagi ketika matahari sedang terbit malah pada sebelah petang sehinggalah malam melabuhkan tirainya.

PENGUNJUNG takjub dengan keindahan alam dari “View Point Wang Kelian”.

Usaha menaik taraf kawasan ini dilakukan oleh pihak Jabatan Perhutanan Perlis yang mana usaha yang dilakukan sememangnya wajar dipuji.

“View Point Wang Kelian” mula mencuit hati untuk dikunjungi selepas dirasmikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada 1 Mac tahun lalu.

“View Point Wang Kelian” yang terletak pada ketinggian 304 meter dari aras laut ini sebenarnya menjanjikan pemandangan yang sangat cantik.

Pengunjung boleh memilih tiga masa yang sesuai untuk berkunjung ke “View Point Wang Kelian”.

Pemandangan dari “View Point Wang Kelian” juga boleh dilihat Empangan Timah Tasoh.

Pengunjung yang meminati keindahan awan karpet boleh datang di awal pagi untuk menyaksikan keindahan gulungan awan meliputi bukit bukau di Perlis.

Bergambar antara kemestian kepada pengunjung di “View Point Wang Kelian.

Jika datang di waktu petang pun tetap menjanjikan pemandangan menarik dengan kepulan awan. Cuaca pula tidak panas kerana lereng bukit ini dilindung matahari.

“View Point Wang Kelian” juga menjanjikan pemandangan tidak kurang menariknya pada waktu malam.

Bertambah meriah apabila ada yang berniaga makanan pada waktu malam pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad dan ini sekaligus telah menarik pengunjung datang bersantai.

Tiga beradik, Faizah Musa, 21, Rizwan, 25 dan Khatijah, 27, datang dari Kuala Kedah hanya semata-mata untuk menikmati pemandangan indah dari “View Point Wang Kelian”.

“Memang cantik walaupun dah sampai pada waktu petang. Lain kali, hendak datang lagi,” kata Khatijah.

Katanya lagi, mereka tiga beradik memang tidak pernah sampai ke Perlis walaupun tinggal berdekatan (Kedah) tetapi “view point” ini yang berjaya menarik perhatian ramai.

TIGA BERADIK Rizwan (kiri), Khatijah (tengah) dan Faizah Musa juga tidak melepaskan peluang ke “View Point Wang Kelian”.

Sementara itu ada yang mewujudkan grup “View Point Wang Kelian” dalam Facebook (FB) sehingga mencatatkan 5.8 ribu penggemar dari seluruh negara.

Selain berkongsi gambar, grup ini juga menceritakan pengalaman mereka semasa berada di “View Point Wang Kelian”. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button