
Eda Ezrin dan suami masih ditahan, tunggu keputusan rayuan pendakwaan
PENYANYI dikir barat Kelantan, Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, bersama suaminya dan empat rakan mereka masih perlu berada dalam penjara sekurang-kurangnya satu hingga empat bulan lagi.
Menurut peguam bela yang mewakili Eda Ezrin dan Sufian Abdul Aziz, mereka perlu menunggu sama ada pihak pendakwaan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang dibuat hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Wilayah Narathiwat membebaskan mereka daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil yaba pada 1 November tahun lalu. Keputusan itu dibuat oleh dua panel hakim selepas meneliti semua keterangan saksi pendakwaan dalam prosiding sebutan semula kes pada Februari lalu.
Laporan Sinar Harian menyebut bahawa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di sebuah hotel di Sungai Golok juga tidak menunjukkan mereka membawa masuk dadah ke dalam bilik. Sebaliknya, terdapat tiga individu lain yang dikenal pasti membawa masuk bahan terlarang itu.
Bagaimanapun, Eda dan lima yang lain dijatuhi hukuman penjara enam bulan serta denda 4,000 baht (RM526) selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah jenis methamphetamine. Namun, mereka tidak perlu membayar denda tersebut kerana sudah menjalani lebih empat bulan pemenjaraan dengan rekod berkelakuan baik sepanjang tempoh tahanan reman.
Sementara itu, peguam mereka menjelaskan bahawa meskipun Eda Ezrin, suami, dan empat rakannya telah dibebaskan daripada pertuduhan memiliki dadah, pihak pendakwaan masih boleh memfailkan rayuan dalam tempoh sebulan.
“Buat masa ini, keenam-enam anak guam saya masih belum boleh dibebaskan dan perlu terus berada dalam penjara sementara menunggu keputusan sama ada pihak pendakwaan akan mengemukakan rayuan. Jika tiada rayuan, mereka akan dibenarkan pulang,” katanya.